Antara pujian dan dugaan SPRM

BARU-baru ini Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron menyatakan beliau telah menghantar nota pujian kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana tindakan tangkapan ke atas pegawai dan anggota polis telah menunjukkan hasil positif dalam usaha memerangi kegiatan judi haram di Melaka.

Sememangnya, SPRM berhak menerima nota pujian itu kerana masalah judi haram bukanlah isu baharu dan ia tidak hanya bermaharajalela di Melaka sahaja malah di negeri-nege­ri lain. Berdasarkan tindakan tegas SPRM dalam memerangi rasuah dan salah guna kuasa sejak ke­belakangan ini, mungkin nota pujian seumpama itu bukan sahaja perlu diberikan berhubung kes judi haram, malah kerajaan-kerajaan negeri termasuk Melaka juga boleh mem­pertimbangkan untuk memberi nota yang sama bagi kes-kes lain juga.

Semua orang tahu ­ke­­tegasan SPRM. Dalam mela­kukan tindakan agensi itu ti­dak mempedulikan sesiapa. Se­bagai contoh di Melaka, seorang be­kas pegawai khas kepada Datuk Bandar Melaka, Mohd. Yusof Abu Hassan didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh atas pertuduhan penggubahan wang haram dan pecah amanah melibatkan wang berjumlah kira-kira RM19.3 juta. Di Johor pula, bekas Exco Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Latiff Bandi dan seorang lagi Amir Sharifuddin Abdul Raub berdepan dengan 33 pertuduhan rasuah membabitkan jumlah lebih RM30 juta.

Ketegasan seumpama itu patut diberi pujian kerana boleh meningkatkan imej kerajaan-kerajaan negeri yang sudah pasti tidak akan berkompromi dengan sebarang amalan rasuah dan penyelewengan. Oleh itu, jangan ha­dkan pujian hanya apabila SPRM bertindak ke atas pegawai dan anggota polis sahaja.

Tidak dapat dinafikan, di mana juga kini SPRM yang dipimpin oleh Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Dzulkifli Ahmad sering menjadi bualan masyarakat. Tindakan demi tindakan yang dilakukan memungkinkan nama SPRM mula meniti di bibir mereka.

Masyarakat kini semakin menyakini keupayaan SPRM dalam membanteras rasuah dan salah guna kuasa, apatah lagi tiada pilih kasih dalam tindakannya. Walaupun sebelum ini ada cakap-cakap agensi itu mungkin tidak akan berani menahan individu-individu yang boleh dikaitkan dengan politik tetapi apa yang berlaku di Melaka dan Johor sudah menjadi bukti.

Pada masa sama, langkah Dzulkifli untuk men­dekati masyarakat me­lalui Program Ziarah Kasih SPRM yang dilancarkan pada Februari lalu turut mendapat pujian banyak pihak. Program ini dianggap pendekatan bijak memandangkan selaras de­ngan hasrat Dzulkifli mahu memastikan SPRM menjadi agensi ‘mesra rakyat, digeruni perasuah’. Dalam dua program yang dijalankan setakat ini iaitu di Kedah dan Kelantan, ia ter­nyata mendapat sambutan hangat masyarakat.

Berdasarkan komen di laman-laman sosial, jelas sekali SPRM berjaya menghakis persepsi sesetengah orang bahawa agensi itu hanya ‘pandai tangkap orang sahaja’ atau bak kata orang ‘tidak mesra alam’. Tetapi kini persepsi itu berjaya dihapuskan melalui program Ziarah Kasih. Melalui program tersebut, orang ramai semakin yakin dan memahami fungsi SPRM, sekali gus akan membolehkan mereka bekerjasama dalam membanteras rasuah.

Namun begitu bak kata orang, ‘bumi mana tidak ditimpa hujan’, ‘dalam setandan pisang, tidak semuanya elok’. Begitulah juga SPRM apabila dalam kerancakan agensi tersebut memerangi salah guna kuasa dan rasuah, seorang anggotanya ditahan di Bukit Mertajam oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kesalahan memeras.

Pegawai SPRM berpangkat penolong penguasa itu ditahan selepas didakwa melakukan perbuatan tersebut ke atas seorang anggota polis. Seperti biasa penahanan mencetuskan pelbagai persepsi, tetapi apa yang pasti SPRM secara tegas memberi jaminan tidak akan berkompromi dengan kesalahan yang dilakukan pegawainya. Malah agensi itu juga menegaskan tidak akan mencampuri siasatan polis dalam kes tersebut.

Memanglah bagi ‘batu-batu api’ mereka seronok melihat pertembungan antara dua agensi ini. Jika sebelum ini SPRM menahan pegawai dan anggota polis, sekarang polis pula menahan anggota SPRM. Tetapi dalam apa juga kes ia tiada kaitan sama sekali soal kedua-dua agensi bermusuhan. SPRM bukannya memusuhi polis, begitu juga polis mereka juga tidak memusuhi SPRM.

Penangkapan yang berlaku disebabkan ada anggota polis melakukan perbuatan rasuah dan salah guna kuasa manakala penahanan pegawai SPRM pula kerana me­lakukan jenayah, oleh itu ia tidak perlu mana-mana pihak membuat tafsiran bukan-bukan.

Namun begitu kes melihatkan pegawai SPRM itu boleh dianggap kes yang ‘amat-amat terpencil’ dan dugaan buat SPRM. Ini memandangkan penulis difahamkan semua pegawai agensi tersebut telah diberi amaran untuk menjalankan tugas mereka sebaik-baiknya.

Penulis yakin SPRM akan meneruskan jihadnya me­merangi rasuah dan salah guna kuasa. Dalam tempoh itu sudah tentulah mereka akan menerima pujian, berhadapan dengan dugaan dan cabaran.

Apapun diharapkan pujian tidak akan melekakan dan dugaan tidak melemahkan SPRM kerana banyak kes termasuk berprofil tinggi yang perlu diselesaikan. Ada antaranya mungkin melibatkan ahli politik. Apa kes itu dan siapa terlibat? Tiba masa­nya kita pasti akan ­mengetahuinya.




Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip