Transformasi menangani rasuah
LEGASI Tun Abdullah Ahmad Badawi adalah perlaksanaan integriti dan penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Legasi kepimpinan Tun Abdullah dilihat pada hari ini tanpa kita sedar. Salah satunya adalah pembanterasan rasuah. Kejayaan SPRM patut dipuji kerana berjaya memerangi amalan rasuah dan penyelewengan tanpa mengira pangkat dan jawatan sejak 2016.
Tetapi sifat manusia seperti dikemukakan Teori Fraud menyatakan kelemahan manusia yang sentiasa melihat kepada peluang dan ruang menyebabkan rasuah dan penyelewengan berlaku. Maksudnya betapa hebat prosedur kerja dan pemantauan dilakukan, tidak akan menghalang kejadian ini berlaku. Ini disebabkan rakyat yang mempunyai kreativiti tinggi disalahgunakan pihak berkepentingan. Mereka ini sentiasa mencari jalan yang menyeleweng seperti manipulasi angka dalam perakaunan kewangan organisasi awam sehingga tidak menampakkan sebarang waswas.
Modus operandi rasuah dalam organisasi awam pada kebiasaannya menyalurkan dana ke dalam setiap program dan projek yang diluluskan. Apabila projek atau program tersebut dilaksanakan selalunya tidak memerlukan pengetahuan menteri atau pihak atasan, terutamanya jumlah dana dibelanjakan. Ini menyebabkan seseorang yang ingin melakukan penyelewengan akan berpakat dengan kontraktor atau pihak penaja untuk memanipulasi wang digunakan dalam projek atau program tersebut. Teori Freud menyatakan, rasionalisasi juga menyebabkan hal ini berlaku. Ini disebabkan terdapat sesetengah pegawai atasan sektor awam tahu rakan-rakan mereka melakukan kegiatan tidak beretika ini. Tetapi disebabkan mereka juga pernah melakukannya satu ketika dulu menyebabkan tidak berani untuk melaporkan apa yang berlaku.
Maka, pengauditan merupakan kaedah terbaik sebagai satu pemantauan kedua. Juruaudit perlu diberikan kuasa yang luas dalam melakukan pemantauan. Ini amat penting supaya amaran awal boleh dikeluarkan jika terdapat syak wasangka meragukan ke atas perbelanjaan dana. SPRM juga perlu diberikan kebebasan untuk menyiasat dan mencegah sebelum berlakunya rasuah dan penyelewengan.
Autonomi kewangan perlu diberikan kepada organisasi awam dalam menentukan kaedah terbaik untuk membelanjakan dan memantau pengurusan kewangan tersebut. Melalui autonomi kewangan juga membolehkan pihak organisasi awam melantik pegawai-pegawai kerajaan berdasarkan pemeriksaan latar belakang terlebih dulu. Ketelusan dan transparensi bagi setiap perbelanjaan program dan projek perlu dikemukakan dengan bukti setiap kali mengeluarkan dana. Bukti tersebut perlu disahkan sekurang-kurangnya dua pegawai yang lebih tinggi daripada kedudukan pegawai tersebut. Pada setiap akhir penutupan program atau projek perlu mendapat tandatangan audit sebelum ditutup. Ini bagi memastikan setiap transaksi pengeluaran dan perbelanjaan dana bagi program dan projek tersebut dipantau dua kali.
Pengrekrutan pegawai-pegawai atasan kerajaan juga perlu ditambah baik. Integriti, akauntabiliti dan intelektual merupakan satu kombinasi yang terbaik untuk mengurangkan amalan rasuah semasa melantik seseorang pegawai. Selain itu, pihak organisasi perlu melaksanakan ketelusan, 'keintegritian' dan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran. Campur tangan minimum politik ke atas pentadbiran awam juga dapat mengurangkan kejadian rasuah dan penyelewengan. Tanpa adanya elemen-elemen dinyatakan di atas tidak memungkinkan organisasi awam bergerak menjadi organisasi berprestasi tinggi.
Comments
Post a Comment