Hapus rasuah sektor keselamatan, kesihatan pekerjaan

ADA pihak bertanya apa kaitan isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) dengan rasuah, sehingga ia dipilih sebagai tema Persidangan dan Pameran KKP (COSH 2019) peringkat kebangsaan pada Ogos depan.

Sebenarnya tema ‘Memacu kecemerlangan KKP Berlandaskan Integriti Demi Masa Hadapan’ amat bertepatan, kerana gejala rasuah di Malaysia membimbangkan.

Seiring usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memerangi rasuah, saya percaya ia juga harus dilaksanakan di semua tempat kerja.

Hal ini selaras tema Hari Pekerja 2019 iaitu ‘Pekerja Amanah Aspirasi Negara’ yang menyeru kita meningkatkan amanah dan kualiti kerja berasaskan integriti tinggi.

Sebagai institusi bertanggungjawab untuk latihan dan pendidikan keselamatan, Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) mengambil langkah penting menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dengan SPRM tahun lalu.

Rasuah dalam apa bentuk tidak boleh diterima dan jika membabitkan pengamal dan agensi KKP, ia boleh mengakibatkan kemalangan yang boleh menyebabkan kecederaan atau kematian.

Menurut Institut Etika Perniagaan Malaysia (BEIM), penghapusan penipuan adalah aspek penting dalam pengurusan keselamatan yang mampan.

Sebagai contoh, pembelian peralatan perlindungan diri (PPE) yang rendah kualiti atau tidak berkualiti boleh meningkatkan risiko kecederaan pekerja, manakala rekod tidak tepat boleh menyebabkan penilaian salah terhadap keadaan atau ciri-ciri berbahaya sesuatu produk.

Suka ambil jalan pintas

Sikap suka mengambil jalan pintas dan mengelak prosedur operasi standard (SOP) akan menjurus kepada amalan tidak selamat. Penyalahgunaan kuasa pula mengakibatkan eksploitasi pekerja kurang mahir atau pekerja asing dalam persekitaran kerja berbahaya dan berisiko tinggi.

Pada masa sama, konflik kepentingan seperti memberi kontrak kepada vendor kurang kompeten boleh mewujudkan bahaya keselamatan serta mendedahkan pekerja kepada persekitaran berbahaya, tanpa perlindungan mencukupi.

Etika, kejujuran dan akhlak adalah unsur utama konsep integriti. Di tempat kerja, mereka yang bertindak penuh berintegriti akan sentiasa memberi kebenaran, bertanggungjawab, telus dan boleh dipercayai, serta melayani rakan sekerja, pihak berkepentingan dan pelanggan dengan penuh rasa hormat.

Penjawat awam, pekerja syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan mereka di sektor korporat harus sentiasa menjaga integriti dan mengelakkan amalan rasuah.

Integriti mestilah ditanamkan apabila seseorang individu menyertai organisasi supaya ia menjadi sebahagian identiti. Seseorang yang bertindak penuh integriti akan melakukan perkara betul walaupun tidak ada yang melihat.

Tingkat integriti

Kita tidak boleh bertolak ansur dengan rasuah dan membiarkannya menjadi budaya dalam masyarakat kita, terutama dalam kalangan pengamal KKP.

Elemen integriti, pengurusan bermoral dan tingkah laku beretika harus disepadukan ke dalam sukatan pelajaran latihan keselamatan sedia ada.

Kita harus mendidik pengamal KKP meningkatkan integriti dan menolak rasuah. Kita perlu ajar mereka nilai moral supaya apabila berada di tempat kerja, mereka menyedari kepentingan untuk tidak terbabit rasuah.

Penulis adalah Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerja Negara (NIOSH)


https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2019/05/562296/hapus-rasuah-sektor-keselamatan-kesihatan-pekerjaan

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip