Rayuan bekas pegawai Perhilitan ketepi hukuman penjara ditolak

KUANTAN 10 Mei - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak rayuan seorang bekas pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Jerantut untuk mengetepikan hukuman penjara empat tahun yang dijatuhkan terhadapnya oleh Mahkamah Sesyen di sini pada 27 Ogos tahun lalu.

Hakim Datuk Zainal Azman Ab. Aziz membuat keputusan berkenaan setelah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dalam kes pendakwaan terhadap Abu Zahrim Ismail, 46.

Bagi permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman sehingga selesai rayuan, Zainal Azman meminta perayu membuat permohonan berkenaan secara formal.

Sementara menunggu permohonan tersebut dibuat, hukuman penjara terhadap perayu berjalan bermula hari ini.

Pada 27 Ogos lalu, Hakim Mahkamah Sesyen Dazuki Ali menjatuhkan hukuman didenda RM117,000 terhadap Abu Zahrim selepas didapati bersalah atas tuduhan membuat tuntutan palsu berhubung pembelian 88 unit beg kembara bernilai RM23,400, lima tahun lalu.

Dazuki turut menjatuhkan hukuman penjara empat tahun kepada Abu Zahrim bagaimanapun membenarkan penggantungan pelaksanaan hukuman penjara itu sehingga tertuduh memfailkan notis rayuan dalam tempoh 14 hari.

Abu Zahrim didakwa dengan niat memperdaya Ketua Pengarah Perhilitan membuat tuntutan palsu atas nama Baraplas Kreatif Enterprise di Pejabat Penguasa Taman Negara Jerantut, dekat sini pada 28 November 2013.

Tuntutan tersebut didakwa mengandungi pembelian 28 unit beg Haversack 75 liter jenama Deuter dan 60 unit Dry Pack 30 liter sedangkan barangan tersebut tidak diterima.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai butiran palsu atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Fadhly Mohd. Zamry dan tertuduh diwakili peguam Datuk Hanif Hassan. -UTUSAN ONLINE


http://www.utusan.com.my/berita/mahkamah/rayuan-bekas-pegawai-perhilitan-ketepi-hukuman-penjara-ditolak-1.898189

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip