PENGARAH, PENGURUS SYARIKAT DITUDUH TERIMA SUAPAN DAN KEMUKAKAN TUNTUTAN PALSU




SEORANG pengurus dan seorang pengarah Projek Syarikat Algotech (M) Sdn. Bhd. yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Jenayah Jalan Duta hari ini atas kesalahan menerima suapan dan mengemukakan tuntutan palsu bernilai RM8,862,826.16.

Pengurus Projek Syarikat Algotech (M) Sdn. Bhd., Lim Ooi Hwa, 48, dan Pengarah Projek Syarikat Algotech (M) Sdn. Bhd., Tan Tian Hock, 61, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dalam tiga perbicaraan yang dibicara secara berasingan.

Di Mahkamah Seksyen Jenayah 9, kedua-dua tertuduh berhadapan dengan satu pertuduhan bersama iaitu membuat tuntutan palsu mengenai pelaksanaan kerja-kerja tambahan LEKAS Package 3 bernilai RM7,445,326.16.

Ooi Hwa dan Tian Hock didakwa melakukan kesalahan tersebut di Petronas Twin Tower, Kuala Lumpur pada 2013.

Hakim Azura Alwi membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM400,000 dengan dua orang penjamin setiap seorang dan pasport diserahkan kepada mahkamah serta melapor diri kepada SPRM sebulan sekali sehingga kes selesai.

Hakim turut menetapkan 5 Jun untuk sebutan semula kes.

Di Mahkamah Sesyen Jenayah 14, Ooi Hwa dituduh bawah 15 pertuduhan menerima suapan yang mana kesemua kesalahan itu dilakukan antara tahun 2011 dan 2012 di Kompleks Pejabat Damansara, Jalan Semantan, Kuala Lumpur dan Kepong Industrial Park, Kepong, Kuala Lumpur sebagai dorongan untuk menganugerahkan projek LEKAS Package 3 kepada syarikat-syarikat swasta melibatkan nilai rasuah sebanyak RM1,087,500.

Hakim Allaudeen Ismail membenarkan tertuduh diikat jamin dengan menyerahkan cagaran hartanah dengan dua orang penjamin atau RM500,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Jun untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen Jenayah 8 pula, Tian Hock dituduh bawah tiga pertuduhan menerima suapan yang mana kesalahan itu dilakukan antara 2011 dan 2012 di Plaza Damansara, Bukit Damansara, Kuala Lumpur sebagai dorongan untuk menganugerahkan projek LEKAS Package 3 kepada syarikat-syarikat berkenaan melibatkan nilai rasuah sebanyak RM330,000.

Hakim Madihah Harrullah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Bagi pertuduhan bersama, Ooi Hwa dan Tian Hock dituduh mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 manakala bagi 15 pertuduhan dan 3 pertuduhan berasingan, kedua-duanya dituduh mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Kedua-dua akta tersebut memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Bagi pihak SPRM, kes tersebut dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib; Abdul Rashid Sulaiman dan Siti Shakema Ibrahim.



SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA


4 MEI 2017


Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip