109 Pegawai Baru SPRM Tamat Latihan, Termasuk 15 Pegawai Lepasan Jurusan Perakaunan Menerusi Pengambilan Khas



SERAMAI 15 kadet yang mengikuti program khas iaitu Program MACC-CAT (Chartered Accountant Trainning) telah menamatkan Latihan Kursus Asas Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selama setahun, hari ini. 
 
Mereka sebahagian daripada seramai 109 pegawai kadet yang diraikan pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai SPRM Siri 16 Bil. 2/2014 (Penolong Penguasa Gred P29) dan Siri 17 Bil. 3/2014 (Penguasa Gred P41). 

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, MACC-CAT adalah program khas pelantikan pegawai baru dari kalangan penuntut jurusan perakaunan yang mendapat CGPA cemerlang untuk mengikut Latihan Kursus Asas. Seramai 12 dari 15 pegawai terbabit adalah penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan masing-masing seorang dari Universiti Tenaga Nasional, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Sains Islam Malaysia. 

Pengambilan khas ini juga selari dengan Program Transformasi SPRM yang sedang dilaksanakan. Pengambilan khas dan latihan selama asas selama setahun adalah antara pembaharuan diperkenalkan oleh SPRM bagi meningkatkan kualiti dan profesionalisme operasi Suruhanjaya dalam jangka panjang. 

"Kadet yang terlibat di bawah program ini akan ditempatkan selama dua tahun di firma-firma audit terkemuka terpilih selepas ini," kata beliau ketika berucap menyempurnakan Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai SPRM Siri 16 Bil. 2/2014 (Penolong Penguasa Gred P29) dan Siri 17 Bil. 3/2014 (Penguasa Gred P41) di Dataran Kawad Kompleks SPRM Johor, Johor Bharu hari ini. 

Langkah proaktif SPRM ini dibuat dengan mengambil kira cabaran semasa di mana SPRM perlu membuat persediaan bagi menangani kes-kes melibatkan penyelewengan kewangan dan perakaunan. 

Dalam tempoh dua tahun ditempatkan di Firma Audit, 15 pegawai ini wajib mengambil peperiksaan Association of Chartered Certified Accountants (ACCA). 

Seramai 109 orang kadet baru ini terdiri daripada 27 Kadet Penguasa Gred P41 dan 82 P Kadet Penolong Penguasa Gred P29 di mana mereka menjalani Latihan Kursus Asas Pegawai selama setahun sejak tahun 2014. Kursus asas ini wajib dilalui setiap pegawai SPRM lantikan baru selama setahun melalui dua fasa iaitu latihan di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) selama enam bulan dan 'on-job-training' selama enam bulan di SPRM negeri dan bahagian. 

Bagi kedua-dua siri ini, kesemua kadet telah berjaya menghabiskan latihan dengan memperoleh keputusan cemerlang dengan memperoleh kelas pertama dan kedua. Tiada kadet yang memperoleh kelas ketiga, menunjukkan peningkatan pencapaian kadet. 

Bagi Siri-16, tiga kadet memperoleh kelas pertama manakala 79 orang mendapat kelas kedua. Bagi siri ke-17 pula, 13 orang memperoleh kelas pertama dan 14 kadet mendapat kelas kedua. 

Selepas latihan asas selama setahun, pegawai-pegawai ini akan ditempatkan di Bahagian Siasatan selama tiga tahun untuk melahirkan mereka sebagai Pegawai Penyiasat yang berkualiti dan berkemahiran tinggi. 

Dalam ucapannya, Tan Sri Abu Kassim juga menekankan bahawa “pegawai-pegawai yang baru dilantik perlu segera melengkapkan diri dengan kemahiran, pemikiran yang kreatif, inovatif, serta sikap yang lebih positif dan reaktif agar kita terus kekal relevan, juga berdaya saing.” 

"Ini bermakna bahawa selama tiga tahun itu mereka perlulah menjalankan tugas-tugas siasatan. 

“Ia merupakan asas kemahiran untuk membentuk kompetensi seseorang pegawai dalam menggerakkan sesuatu tugasan agar dapat membentuk budaya perkhidmatan yang unggul," kata beliau. 

Pada masa yang sama, Tan Sri Abu Kassim turut menyentuh mengenai bajet 2016 yang dibentangkan kerajaan baru-baru ini berhubung penambahan pegawai dan memantapkan lagi SPRM dengan program-program yang relevan. 

“SPRM sentiasa bersedia menyahut seruan kerajaan dalam meningkatkan tahap profesionalisme dan keupayaan pegawai dalam melaksanakan tugas dan berharap kerajaan dapat mempertuntukkan bajet seimbang kepada SPRM dengan mengambil kira komitmen kerajaan untuk menambah keanggotaan pegawai SPRM,” kata Tan Sri Abu Kassim. 

Pada majlis hari ini, sembilan peserta dipilih untuk menerima Anugerah Kadet Terbaik iaitu:- 

(a) Anugerah Ketua Pesuruhjaya
·         Khalled Abdul Mobin (Siri 16)
·         Wan Mohd Norhalim Zakaria (Siri 17)

(b) Anugerah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme)
·         Khalled Abdul Mobin (Siri 16)
·         Mohd Azlan Mohd Ali (Siri 17)

(c) Anugerah Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia
·         Yusuf J Langkan (Siri 16)
·         Wan Mohd Norhalim Zakaria (Siri 17)

(d) Anugerah Komandan Pusat Latihan Asas MACA (Terbaik Latihan Luar Lelaki)
·         Suryadi Mahmud (Siri 16)
·         Wan Mohd Firdaus Wan Yusof (Siri 17)

(e) Anugerah Komandan Pusat Latihan Asas MACA (Terbaik Latihan Luar Wanita)
·         Nurulnadia Kamarudzaman (Siri 17)

Turut hadir pada majlis hari ini Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Dato' Sri Mohd Shukri Abdull; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Dato' Sri Mustafar Ali; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme), Dato' Mohd Jamidan Abdullah dan Pengarah Bahagian dan Negeri.

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
JOHOR BHARU
12 NOVEMBER 2015

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip