JITN: Pesanan Tun Razak jadi pegangan Dzulkifli

KELMARIN, secara tiba-tiba sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tidak begitu dikenali iaitu Pertubuhan Belia Generasi Mahkota (Pembela) membuat laporan polis ke atas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad berikutan kenyataan beliau menempelak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low berhubung penubuhan Jabatan Integriti dan Tadbir Urus (JITN).

Pertubuhan itu mendakwa kenyataan Dzulkifli boleh mengelirukan rakyat kerana penubuhan JITN telah diputuskan oleh Kabinet. Tidak mengapalah kalau mereka mahu berbuat demikian dengan alasan melalui laporan polis itu mereka berharap polis menjalankan siasatan sama ada kenyataan Dzulkifli dihasut oleh mana-mana individu atau tidak.

Ketika penulis menghubu­ngi Dzulkifli bagi mendapatkan komennya, beliau menegaskan, apa yang dilakukan adalah berpegang kepada pesanan Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein yang mahukan penjawat awam tidak dikawal atau dikuasai oleh ahli politik dalam melaksanakan tanggungjawab mereka kepada negara.

“Itu sahaja ulasan saya, biarlah rakyat menilai,” kata Dzulkifli sekali gus membuktikan apa yang beliau lakukan bukanlah satu kesalahan apatah lagi tindakan biadab apabila menyuarakan secara lantang penentangan terhadap penubuhan JITN.

Ketika menjadi Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak pernah berkata, “Sebagai penjawat awam, saya berharap kamu akan berani berhadapan dengan kami dan tidak membenarkan kami menguasai anda. Ia kerana dalam demokrasi sebenar penjawat awam mempunyai tanggungjwab untuk dilaksanakan. Sesungguhnya masa depan de­mo­krasi negara bergantung kepada anda.”

Oleh itu dalam berhadapan dengan isu JITN, tidak perlulah mana-mana pihak mahu menyibuk diri untuk ‘tumpang semangkuk’ mengkritik ketegasan Dzulkifli. Sebaliknya, mereka perlu mengkaji secara mendalam atau mungkin mendapat penjelasan daripada Dzulkifli sendiri kenapa beliau menentang penubuhan JITN.

Memang benar keputusan itu telah dibuat oleh Kabinet, tetapi kita juga jangan lupa ada juga keputusan Kabinet yang dikaji semula apabila mendapat bantahan dan kritikan daripada pelbagai pihak.

Justeru Pembela tidak perlu terburu-buru dalam tindakannya apatah lagi ketika Dzulkifli dan SPRM sedang ‘diserang’ dari segenap penjuru berikutan ke­tegasan agensi itu memerangi ra­suah dan salah guna kuasa.

Kalau Pembela teruja sa­ngat ingin terlibat dalam isu-isu berkaitan integriti, mungkin mereka boleh bertanya kepada Paul, perlukah memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani antara Jabatan Perdana Menteri dengan Business Integrity Alliance (BIA). Kalau mengikut apa yang dilaporkan, melalui MoU itu kerajaan melantik BIA sebagai rakan pintar untuk memerangi rasuah di sektor swasta. Soalnya perlukah langkah sedemikian? Kenapakah Pembela tidak mendapat maklumat lanjut berhubung perkara itu daripada ‘menyibuk’ mahu membuat laporan ke atas Dzulkifli?

Apapun Dzulkifli ternyata tidak terkesan dengan tindakan Pembela. Sama ada kenyataan Dzulkifli dianggap menghasut atau tidak biarlah siasatan polis menentukan. Tetapi apa yang pasti, Dzulkifli hanya mempertahankan kebebasan SPRM dan tidak mahu mana-mana pihak mencampuri apatah lagi mengawal agensi itu dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

Tambahan pula sehingga ke hari ini objektif sebenar penubuhan JITN masih lagi kabur dan sudah ditentang secara lantang oleh tokoh-tokoh yang cukup terkenal dalam soal integriti, memerangi rasuah dan salah guna kuasa. Oleh itu diharapkan Pembela meneliti semua kenyataan tersebut sebelum terlalu teruja mahu membuat laporan polis ke atas Dzulkifli, dalam bahasa mudah, belajar memahami isu sebelum bertindak!



http://www.utusan.com.my/berita/nasional/jitn-pesanan-tun-razak-jadi-pegangan-dzulkifli-1.535530#ixzz4uzUccTdj 

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip