Bekas CEO didakwa terima suapan RM20,000

SHAH ALAM - Seorang bekas ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat perkakasan dan peralatan komputer dihadapkan ke mahkamah sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan menerima suapan wang tunai RM20,000 daripada seorang individu, tiga tahun lepas.

Bagaimanapun, Azizul Fikri Ab Rahman, 41, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan hakim Mohd Sabri Ismail.

Lelaki itu didakwa menerima suapan tersebut melalui akaun bank Maybank miliknya sebagai upah untuk meluluskan tuntutan komisen bagi projek Pusat Siber Rakan Muda Zon Sarawak berjumlah RM45,000.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Maybank cawangan Bandar Kinrara dekat sini, kira-kira 4.36 petang pada 14 September 2015 dan didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Sabit kesalahan, Azizul Fikri boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.

Mohd Sabri yang membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin serta pasportnya diserah kepada mahkamah turut menetapkan dan 2 November ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Hazirah Azeman sementara tertuduh diwakili peguam Mohd Redzuan Mohamed Yusoff. -Bernama


http://www.sinarharian.com.my/mahkamah/bekas-ceo-didakwa-terima-suapan-rm20-000-1.887058

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip