Zahid hadapi 45 pertuduhan, diikat jamin RM2 juta

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini menetapkan ikat jamin RM2 juta ke atas bekas timbalan perdana menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi 45 pertuduhan pengubahan wang haram, rasuah dan pecah amanah.

Zahid yang kelihatan letih selepas ditahan semalaman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mengambil masa 55 minit untuk berdiri mendengar semua pertuduhan itu dibacakan kepadanya.

Beliau mengaku tidak bersalah terhadap 10 pertuduhan pecah amanah dengan jumlah tertinggi RM17 juta, di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan, serta 8 lagi pertuduhan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 kerana menerima rasuah bagi pelbagai projek ketika menjadi menteri dalam negeri.

Baki 27 pertuduhan lagi berkaitan pengubahan wang haram yang berjumlah RM72 juta, di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Pertuduhan rasuah itu termasuk dakwaan peranannya dalam perkhidmatan penyumberan luar Kementerian Dalam Negeri yang dikaitkan dengan MyEG Services Sdn Bhd, dakwaan menerima wang daripada seorang pengarah Data Sonic Group Bhd untuk membekalkan 12.5 juta cip bagi pasport Malaysia dan melantik sebuah syarikat mengendalikan sebuah pusat sehenti di Pakistan serta Nepal bagi memproses visa kerja.

Pertuduhan pecah amanah pula didakwa dilakukan antara Januari 2014 hingga Mac 2018, kesalahan di bawah Akta SPRM itu antara Julai 2016 dan Mac 2018, manakala pengubahan wang haram sejak 27 Mac 2016.

Zahid yang dipilih menerajui Umno Jun lalu, ialah individu pertama dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan jenayah ketika menjadi presiden Umno.

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang dilantik sebagai timbalan pendakwa raya kanan berkata, semua pertuduhan itu perlu dibicarakan bersama.

Beliau turut memohon mahkamah memerintahkan Zahid membayar RM2 juta sekaligus, tetapi peguam Zahid, Hisyam Teh Poh Teik berkata, anak guamnya perlu dibenarkan membayar ikat jamin itu menerusi 2 bayaran.

Hakim, Azura Alwi membenarkan Zahid membayar RM1 juta hari ini, manakala baki diselesaikan sebelum 26 Oktober ini.

Beliau turut memerintahkan presiden Umno itu menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Selain Hisyam, Zahid turut diwakili 11 peguam lain, manakala Sri Ram mengetuai pasukan pendakwaan yang dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, Mohamad Mustafa P Kunyalam, T Deepa Nair serta Nadia Mohd Izhar.

Beliau memaklumkan mahkamah, mereka akan memfailkan permohonan minggu depan untuk kes Zahid dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dan Sri Ram tidak membantahnya.

Hakim menetapkan 14 Disember ini untuk sebutan semula kes itu.

Isteri Zahid, Datin Seri Hamidah Khamis dan ahli keluarga lain turut hadir di mahkamah hari ini.

Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak turut hadir di mahkamah bersama pemimpin kanan Umno lain. Beliau meninggalkan mahkamah sejurus sebelum pertuduhan dibacakan.

Zahid dipanggil SPRM sebanyak 6 kali sejak Julai hingga semalam berhubung siasatan ke atas dakwaan penyelewengan dana Yayasan Akal Budi milik keluarganya dan dakwaan pertemuannya dengan seorang kerabat diraja Arab Saudi.


https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/10/19/zahid-berdepan-45-pertuduhan-diikat-jamin-rm2-juta/

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip