Kami Pasti Bertindak!
MUKADIMAH: HARI ini genaplah 50 tahun, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM ) ditubuhkan. Bermula dengan Badan Pencegah Rasuah (BPR), agensi itu dinaikkan taraf sebagai suruhanjaya mulai 1 Januari 2009.
Sepanjang tempoh itu pelbagai kejayaan dan cabaran dicapai. Perubahan pucuk kepemimpinan SPRM daripada Tan Sri Abu Kassim Mohamed kepada TAN SRI DZULKIFLI AHMAD menyaksikan agensi itu semakin dikenali ramai.
Pada masa sama Ketua Pesuruhjaya SPRM tersebut berjaya menjadikan SPRM sebagai agensi paling digeruni berikutan tindakan penguatkuasaan yang dilakukan. Bagaimanapun perjuangan SPRM masih panjang. Dalam wawancara eksklusif bersama wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR sempena ulang tahun ke-50 SPRM , Dzulkifli membentangkan pandangan beliau berhubung perjalanan agensi itu seterusnya dalam usaha menjadikan rasuah dan salah guna kuasa sebagai musuh nombor satu negara.
Pada masa sama Ketua Pesuruhjaya SPRM tersebut berjaya menjadikan SPRM sebagai agensi paling digeruni berikutan tindakan penguatkuasaan yang dilakukan. Bagaimanapun perjuangan SPRM masih panjang. Dalam wawancara eksklusif bersama wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR sempena ulang tahun ke-50 SPRM , Dzulkifli membentangkan pandangan beliau berhubung perjalanan agensi itu seterusnya dalam usaha menjadikan rasuah dan salah guna kuasa sebagai musuh nombor satu negara.
MINGGUAN: Bermula dengan BPR dan kini SPRM, apakah signifikannya sambutan 50 tahun kepada SPRM?
DZULKIFLI : Ia adalah detik cukup signifikan dan bersejarah dalam catatan liku-liku perjalanan perjuangan SPRM, sebagai entiti ulung pencegahan rasuah negara. Sepanjang tempoh tersebut, pelbagai cabaran, perit-getir, suka dan duka kisah perjuangan dilakari oleh warga SPRM dalam memastikan amanah memerangi jenayah rasuah dan salah guna kuasa yang dipertanggungjawabkan oleh rakyat kepadanya, tetap teguh diperjuangkan dalam ruang lingkup undang-undang pada setiap masa tanpa gagal.
Pada saya kita perlu meraikan detik 50 tahun penubuhan BPR/SPRM dengan memberi penghormatan dan penghargaan kepada para pejuang dan kepemimpinan lalu yang menerajui agensi dengan penuh ikhlas, jujur dan amanah. Pada masa sama kita perlu memastikan agenda perjuangan memerangi jenayah rasuah dan salah guna kuasa diteruskan, diperkemas dan dipertingkatkan, selari kehendak dan aspirasi rakyat.
Kita perlu memandang ke hadapan dengan lebih berani dan bijaksana untuk mencipta gelombang sejarah era baharu SPRM. SPRM era baharu adalah SPRM yang perlu dilihat dan dirasai keberadaannya bersama rakyat. SPRM perlu menjadi sebuah agensi milik rakyat, menjadi suara dan kudrat mempertahankan hak dan kepentingan rakyat di kala mereka dihimpit penindasan disebabkan gejala rasuah dan salah guna kuasa.
Jika kita tidak memaksi perjuangan di era baharu ini demi rakyat dan negara, maka akan terkuburlah hasrat kita mewujudkan sebuah negara membangun, makmur, bersih dan sebenar-benarnya bebas daripada ancaman rasuah dan salah guna kuasa.
Sejak mengambil alih jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri dikatakan berjaya mewujudkan kegerunan orang ramai terhadap gejala rasuah. Adakah Tan Sri berpuas hati dengan pencapaian dalam tempoh setahun ini?
DZULKIFLI : Setiap percaturan dan perancangan yang dilakukan oleh saya dan teman-teman semata-mata untuk memastikan jenayah rasuah dan salah guna kuasa dicegah, dibanteras dan diperangi habis-habisan. Sungguhpun saya membawa pelbagai pendekatan dan pembaharuan kaedah kerja serta penguatkuasaan, namun ia tidak memberi sebarang erti dan kesan jika SPRM tidak benar-benar mengotakan apa yang dikatakannya. Pada hemat saya, jika benar kegerunan wujud maka yang membawa perasaan itu kepada umum bukan kerana kaedah kerja oleh SPRM semata-mata, tetapi hakikatnya SPRM di bawah kepemimpinan saya membuktikan, kami tidak gentar mengambil tindakan kepada mana-mana individu dan organisasi.
Tiada lagi istilah individu atau organisasi yang dikatakan ‘untouchables’ atau mereka yang tidak boleh disentuh di era baharu SPRM ini. Jika terdapat bukti dan keterangan yang secukupnya untuk mengambil tindakan maka kami pasti akan tiba pada masa dan ketikanya. Elemen kejutan dan pelaksanaan penguatkuasaan secara konsisten tanpa henti juga memainkan peranan dalam meyakinkan rakyat bahawa kami benar-benar serius. Rasuah dan salah guna kuasa harus dihentikan serta-merta sebelum ia meresap dan membunuh nilai masyarakat.
Jika menerima maklumat dan menghidu sebarang perilaku rasuah dan salah guna kuasa, percayalah kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan dan merentap keamanan mereka yang terlibat dengan jenayah terkutuk ini. Secara keseluruhannya, saya bersyukur kerana pencapaian setakat ini adalah hasil perancangan, namun saya merupakan seorang individu yang tidak mudah berpuas hati.
Saya sering mencabar diri saya dan rakan-rakan di SPRM untuk melihat ke hadapan agar kita dapat menghasilkan sesuatu yang luar biasa. Saya merasakan masih banyak lagi yang perlu dan boleh dilakukan. Jadi kami tentunya tidak akan pantas berpuas hati dengan keadaan sedia ada dan akan terus bekerja untuk memastikan agenda perjuangan kami benar-benar menemui maksud dan tujuannya.
Tan Sri dilihat melakukan beberapa pendekatan dan perubahan yang dianggap agak luar daripada kebiasaan SPRM seperti teater, membaca puisi dan drama bersiri, kenapakah Tan Sri mengambil pendekatan itu?
DZULKIFLI : Setiap pegawai Suruhanjaya, termasuk saya, mempunyai fungsi dan tanggungjawab bagi mendidik orang ramai untuk menentang rasuah serta mendapatkan dan memelihara sokongan orang ramai dalam memerangi rasuah. Perkara ini dinyatakan dengan begitu jelas di dalam seksyen 7(f) dan 7(g) di dalam Akta SPRM 2009 (Akta 694). Ini adalah fungsi dan tanggungjawab saya secara perundangan.
Jadi untuk melaksanakan tugas yang dituntut oleh undang-undang secara berkesan, maka saya merasakan adalah perlu untuk saya mempelbagaikan kaedah penyebaran atau medium penyebaran dakwah saya bagi mendidik dan meraih sokongan orang ramai dalam memerangi rasuah. Ini kerana apabila kita berbicara tentang orang ramai, maka ia meliputi pelbagai golongan, segmen dan strata masyarakat. Maka mahu tidak mahu saya perlu berani meneroka kaedah baharu dan lebih mudah diterima masyarakat dalam kepelbagaiannya.
Alhamdulillah, saya dan rakan-rakan di SPRM kini mula berasa sokongan yang kian meningkat baik daripada golongan seni, mahasiswa, golongan aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO) malahan masyarakat secara keseluruhannya. Jika kita benar-benar ingin mendidik dan merangsang sokongan orang ramai maka perkara-perkara seumpama ini perlu kita laksanakan.
Turut menjadi perhatian ialah bagaimana buat pertama kalinya SPRM mengambil tindakan undang-undang ke atas individu yang membuat kenyataan yang dianggap memfitnah agensi itu, seperti mana tindakan yang diambil ke atas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng. Apa komen Tan Sri?
DZULKIFLI : Saya dan rakan-rakan di SPRM adalah penjawat awam yang berjuang dan melaksanakan tugas untuk mencegah dan memerangi epidemik rasuah ini tanpa berselindung di sebalik sebarang agenda. Segala tindakan dilaksanakan menurut kesedaran dan ruang lingkup undang-undang sedia ada.
Sejak ditubuhkan hingga kini, saya mendapati SPRM sering menjadi sasaran serangan murahan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Perkara sebegini acap kali berlaku. Apabila kepentingan mereka tergugat maka bermulalah kedengaran lolongan murahan ini yang menyalahkan tindakan SPRM dengan memberi gambaran salah dan tanpa fakta sebenar.
Cukup-cukuplah. Institusi awam tidak harus dijadikan sasaran mudah yang boleh diperlakukan sesuka hati. Kami membawa amanah dan aspirasi rakyat dalam menjalankan tugas kami. Maka saya mengambil pendirian sebagai penjawat awam, kita tidak harus lagi gentar dan apologetik dalam tindakan yang diambil. Apa yang tidak benar dan salah maka kita perlu berani berdiri di hadapan muka mereka dan menyatakan tindakan mereka itu salah dan mereka harus menghentikannya serta-merta.
Tindakan yang diambil bukan berkisarkan saya secara peribadi tetapi kerana ia perlu untuk menjaga nama baik, kredibiliti serta maruah institusi awam itu sendiri daripada terus diinjak-dinjak dan diludah sewenang-wenangnya. Kami telah mengambil pendirian tegas di SPRM dan telah merujuk pendirian kami kepada Peguam Negara. Jadi terpulanglah kepada Peguam Negara untuk membuat sebarang keputusan yang difikirkan wajar.
Apa pendapat Tan Sri apabila ada ahli politik menganggap SPRM melakukan tindakan aniaya apabila menahan mereka yang mempunyai kaitan dengan ahli politik pembangkang?
DZULKIFLI : Apabila mereka dikelabui dengan agenda politikus murahan maka pertimbangan mengenai kebenaran menjadi buta di hati mereka. Apabila kita mengambil tindakan terhadap mereka yang mempunyai hubungan dengan kerajaan maka kami ini dianggap pejuang antirasuah sejati, dipuji dan sebagainya, tetapi apabila kami mengambil tindakan terhadap mereka yang mempunyai kaitan dengan ahli politik pembangkang, SPRM dicop sebagai tali barut kerajaan. Sudah-sudahlah berdrama.
Kalau inilah jenis dan kualiti ahli politik atau pemimpin politik yang ada di negara ini, maka ia cukup tragis dan mengecewakan. Saya ingin nyatakan dengan tegas, saya dan rakan-rakan di SPRM tidak ada masa bermain politik dan mengikut rentak permainan wayang mereka.
Mereka boleh terus dengan kepura-puraan tetapi pada kami tugas dan tanggungjawab kami jelas. Jika wujud kesalahan yang dilakukan dan ia disokong dengan fakta serta keterangan, kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan.
Ideologi politik atau latar belakang kedudukan tidak pernah dan tidak akan kami jadikan sandaran dalam membuat keputusan dan tindakan kami. Isu rasuah bukanlah isu yang harus dipolitikkan. Isu rasuah adalah isu rakyat dan isu penting berkait rapat dengan nasib dan masa depan tanah air kita.
Salah satu yang menjadi bualan ramai ialah keengganan Kerajaan Selangor menandatangani IBR. Pada pandangan Tan Sri kenapa mereka bertindak demikian?
DZULKIFLI : IBR bukan satu bentuk paksaan, sebaliknya ia dilakukan hasil kesedaran setiap kementerian, agensi kerajaan, GLC, organisasi korporat mahupun kerajaan negeri untuk membendung dan memerangi jenayah rasuah. Umum perlu faham, apabila IBR dilakukan secara sukarela, ia memperlihatkan keikhlasan agensi atau entiti-entiti tersebut. Jika ia dilakukan secara paksa sudah pasti matlamat utama IBR membanteras rasuah tidak akan tercapai sampai bila-bila.
IBR adalah langkah awal yang memerlukan ikrar dinyatakan secara lisan bagi menunjukkan komitmen mereka yang berikrar dalam kapasiti sebagai individu untuk menolak dan memerangi rasuah. Selepas ikrar dilakukan maka tentunya kita akan menyusulinya melalui pelbagai inisiatif serta program lain bagi memantapkan integriti, sahsiah dan nilai individu serta organisasi tersebut daripada dipengaruhi dan diresapi ancaman gejala rasuah.
Pada saya kita tidak perlu skeptikal kerana IBR adalah satu inisiatif positif. Jadi tidak ada apa yang harus ditakutkan. Kerajaan Kelantan menandatangani IBR, begitu juga kerajaan Pulau Pinang walaupun dengan penambahan 10 langkah baharu. Kami tiada masalah, sekalipun sekiranya 20 langkah baharu pun mahu diperkenalkan bersama IBR.
Dalam isu Kerajaan Selangor, saya perlu adil kerana dahulunya mereka yang terlebih dahulu menyatakan persetujuan menandatangani IBR jika dibandingkan Pulau Pinang. Cuma pada waktu itu tarikh pelaksanaannya tidak bersesuaian.
Tetapi kini kesungguhan itu nampak terhenti. Kami masih terbuka dan berharap Kerajaan Selangor mengubah pendiriannya kerana rakyat sedang memerhati komitmen mereka dalam mencegah dan memerangi rasuah. Rakyat negeri itu sendiri pada 18 September lalu, yang diwakili oleh pemimpin-pemimpin masyarakat di setiap daerah menandatangani dan menyerahkan Ikrar Rakyat Selangor Bebas Rasuah disaksikan Tengku Indera Setia Selangor, Tengku Ahmad Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj yang mewakili Sultan Selangor. Jadi terserahlah pada kerajaan Selangor. Fikir-fikirkanlah.
Buat pertama kalinya dalam sejarah, orang ramai dapat menyaksikan satu kempen cegah rasuah secara besar-besaran melalui Kembara Jelajah Anti Rasuah (Kejar). Bagaimanakah sambutan yang diterima?
DZULKIFLI : Program itu bersempena sambutan ulang tahun ke-50 penubuhan BPR/ SPRM. Ia bermula pada 18 September hingga 30 September lalu. Dalam program tersebut, saya, kepemimpinan tertinggi SPRM bersama pegawai-pegawai melakukan konvoi ke seluruh pelosok negara dengan bas dan diiringi 44 motosikal berkuasa tinggi. Kami bertemu rakyat daripada segenap lapisan.
Ia bertujuan mengucapkan terima kasih terhadap sokongan rakyat kepada BPR/SPRM sejak ditubuhkan 50 tahun lalu sehingga kini. Alhamdulillah, sambutan rakyat di setiap destinasi yang kami kunjungi cukup meriah dan terbuka. Di setiap lokasi, rakyat berpusu-pusu datang bertemu dan bersama warga SPRM bagi menyatakan sokongan mereka.
SPRM juga mengambil kesempatan menyampaikan mesej antirasuah melalui Gerakan Revolusi Anti Rasuah atau GERAH. Menerusi GERAH, kami mahu menyemai dan menyuburkan dalam kalangan rakyat sikap membenci, menolak rasuah dan memiliki keberanian bangkit memerangi jenayah itu dan menolak perasuah. Dengan turun bertemu rakyat secara langsung, kami mahu rakyat merasa dekat dan hampir dengan SPRM.
Selari dengan hasrat SPRM untuk mengukuhkan hubungan dengan rakyat juga maka sewaktu KEJAR diadakan kami turut sama menyemarakkan membership drive kepada orang ramai untuk menjadi ahli kepada Sahabat GERAH SPRM. Melalui kempen ini, SPRM menjemput orang ramai, tanpa mengira latar belakang agama, bangsa, usia mahupun kedudukan atau ideologi politik, mendaftar sebagai ahli. SPRM mahu masyarakat mesra dengan SPRM, ‘mata dan telinga’, rakan, teman seperjuangan dan sebahagian keluarga besar SPRM. Sejak dilancarkan pada 1 Ogos lalu, saya difahamkan hampir 70,000 orang mendaftar menjadi ahli. Jumlah ini adalah suatu di luar jangkaan dan terjemahan sokongan tidak berbelah bahagi kepada perjuangan SPRM. Insya-Allah, SPRM menyasarkan menjelang penghujung tahun ini bilangan itu mencecah 100,000 orang.
Mungkin ketika melakukan jelajah tersebut terdapat peristiwa yang menimbulkan kesan mendalam kepada Tan Sri dan rakan-rakan?
DZULKIFLI : Kehadiran ribuan rakyat bersama kami ketika program KEJAR sudah cukup memberi makna dan kenangan manis buat kami. Ia memberi semangat baharu untuk kami terus berjuang mencegah dan memerangi rasuah demi mempertahankan hak dan kepentingan rakyat itu sendiri.
Sewaktu program KEJAR saya bertemu pelbagai individu yang secara peribadi memberikan kata-kata semangat kepada saya dan mengucapkan terima kasih serta penghargaan di atas segala tindakan yang kami laksanakan kebelakangan ini. Sejumlah besar rakyat yang kami temui juga melahirkan keyakinan mereka kepada SPRM secara langsung dan harapan tinggi agar SPRM terus konsisten dalam tindakannya. Di setiap pertemuan tersebut saya tidak pernah gagal meminta mereka mendoakan saya dan rakan-rakan seperjuangan saya di SPRM agar kami terus diberi petunjuk, hidayah, kekuatan dan dilindungi daripada sebarang bentuk ancaman.
Sempena 50 tahun ulangtahun SPRM dan perasmian bangunan Ibu Pejabat baharu SPRM hari ini, apakah harapan Tan Sri?
DZULKIFLI : Adalah sesuatu yang mustahil bagi SPRM untuk terus berdiri sehingga ke hari ini, mendepani pelbagai dugaan dan cabaran tanpa dibentengi keyakinan, sokongan dan dokongan daripada rakyat di segenap lapisan. Oleh itu, saya berharap bersempena sambutan Jubli Emas penubuhan SPRM, rakyat akan dapat terus berada di sisi kami serta tetap teguh dan kukuh menyokong perjuangan kami. Perjuangan 50 tahun ini memperlihatkan betapa keampuhan kombinasi rakyat dan SPRM yang cukup berbisa sekiranya digemblengkan sepenuhnya. Justeru hubungan antara rakyat dan SPRM perlu diperkukuhkan lagi kerana rakyat dan SPRM berpisah tiada serta perlu menjadi satu.
Saya juga berharap kerajaan akan terus memberikan sokongan dan perhatian kepada usaha memartabatkan kemampuan SPRM dari sudut tenaga manusia, kemampuan aset dan teknikal serta kepakaran. Komitmen kerajaan dalam memperbaiki kemampuan penyampaian kerja SPRM adalah satu pelaburan kepada masa depan negara dan rakyat yang mahukan tanah air kita terus bersih dan bebas daripada ancaman jenayah rasuah serta salah guna kuasa. Saya juga turut sentiasa berdoa agar Allah SWT akan sentiasa merahmati dan memberkati segala usaha-usaha yang kita laksanakan, insya-Allah.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/rencana/utama/kami-pasti-bertindak-1.532656#ixzz4uEZTwf4J
© Utusan Melayu (M) Bhd
Comments
Post a Comment