Kerajaan komited bersama SPRM perangi rasuah
PUTRAJAYA - Kerajaan komited memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam perjuangan menentang rasuah supaya kedudukan negara termasuk dari segi ketelusan dan daya saing semakin baik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata pembinaan kompleks baharu Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya yang merupakan kompleks agensi antirasuah yang terbesar di dunia dan lengkap dengan segala keperluan SPRM adalah manifestasi Kerajaan dalam memerangi rasuah dan salah guna kuasa.
"Rasuah adalah ancaman kepada negara, ketamadunan kita, masyarakat dan masa depan negara kita.
Jika kita dapat membendung dan membanteras rasuah, negara Malaysia kita yang tercinta lebih berjaya dan disanjung dan lebih dihormati dan berada di saf hadapan sebagaimana visi TN50 (Transformasi Nasional 2050)," katanya ketika merasmikan kompleks itu, di sini hari ini, yang merupakan mercu tanda baharu Putrajaya.
Bangunan Ibu Pejabat SPRM yang telah siap dibina sepenuhnya dan diserahkan secara rasmi pada 21 Julai lalu merupakan bangunan yang direka bentuk agar menepati keperluan operasi serta sistem pentadbiran SPRM.
la didirikan di tapak berkeluasan 2.07 hektar di Presint 7 serta mampu menempatkan kira-kira 1,800 kakitangan.
Ibu Pejabat SPRM berkenaan terdiri daripada tiga menara iaitu A, B dan C masing-masing setinggi 14, 18 dan 22 tingkat berserta tujuh tingkat podium.
Antara kemudahan yang disediakan ialah sebuah dewan serba guna dengan kapasiti 1,000 orang, auditorium yang mampu memuatkan 300 orang, taska, gimnasium, perpustakaan dan bilik sidang media.
Pada majlis yang juga merupakan sambutan ulang tahun ke-50 penubuhan Badan Pencegah Rasuah (BPR)/SPRM yang diraikan pada setiap 1 Okt, Najib turut mengumumkan peruntukan segera RM5 juta kepada Yayasan Prihatin SPRM yang berperanan menjaga kebajikan warga SPRM.
"Kita tahu anggota SPRM bekerja keras siang dan malam, jadi kita mesti beri sokongan moral kepada kebajikan anggota-anggota SPRM. Mudah-mudahan ini akan menaikkan semangat kita terus berjuang habis-habisan menentang rasuah," katanya.
Mengimbau kembali sejarah SPRM, beliau berkata BPR ditubuhkan pada tahun 1967 di bawah kepimpinan Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman, sebagai sebuah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Katanya walaupun BPR menunjukkan prestasi yang baik, namun persepsi masyarakat terhadapnya sebagai sebuah agensi Kerajaan kelihatan tidak bebas menjalankan tugas terutamanya aspek penguatkuasaan.
BPR kemudiannya diperkasakan menjadi SPRM di bawah kepimpinan Perdana Menteri Kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2009 sebagai sebuah entiti bebas, katanya.-Bernama
http://www.sinarharian.com.my/nasional/kerajaan-komited-bersama-sprm-perangi-rasuah-1.737425
http://www.sinarharian.com.my/nasional/kerajaan-komited-bersama-sprm-perangi-rasuah-1.737425
Comments
Post a Comment