Buruh Indonesia didakwa rasuah polis
TAWAU: Seorang buruh kasar warga Indonesia, dihukum penjara dua hari dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas dua pertuduhan selepas mengaku bersalah menawarkan suapan RM100 dan RM300 kepada polis marin, November lalu.
Santos Samsul, 27, pemegang pasport negara itu didakwa mengikut Sekyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menawarkan rasuah kepada polis marin untuk melepaskan seorang rakannya ditahan kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri.
Hakim Abu Bakar Manat memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 bagi setiap satu pertuduhan, dan penjara sebulan bagi setiap pertuduhan, jika gagal membayar denda berkenaan.
Berdasarkan pertuduhan, Santos datang dari Tawau ke Pangkalan Polis Marin Semporna untuk membantu kawannya, Alvin Rudi, yang ditahan kerana dipercayai tidak memiliki dokumen pengenalan diri antara jam 12 tengah hari hingga jam 5.17 petang, pada 22 November lalu.
Dia berjumpa pengadu dan menawarkan suapan RM100 dan RM300 untuk melepaskan rakannya yang ditahan, sebelum pengadu membuat aduan kepada Pejabat SPRM Tawau seterusnya menyerahkan suspek kepada SPRM pada 23 November lalu.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwaan SPRM, Awang Samsul Baharom Bungso dan Timbalan Pendakwa Raya, Rustam Sanip manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2017/12/361938/buruh-indonesia-didakwa-rasuah-polis
Comments
Post a Comment