Rasuah RM300, didenda RM16,000
IPOH: Seorang pesara Jabatan Mineral dan Geosains Perak didenda RM16,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas mengaku bersalah menerima rasuah RM300 ketika masih berkhidmat, kira-kira dua tahun lalu.
Hakim S Indera Nehru turut memerintahkan tertuduh, R Thangavelu, dihukum penjara lima bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Thangavelu, 61, yang sebelum ini berkhidmat sebagai Pegawai Geosains, didakwa menerima wang tunai RM300 daripada Mohamad Imran Abdullah yang diketahui mempunyai hubungan kerja rasminya.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di bilik pejabat Tingkat 1, Bangunan Makmal Kimiabumi, Bahagian Perkhidmatan Teknikal Jabatan Mineral dan Geosains Perak di sini, pada jam 4.10 petang, 4 September 2015.
Thangavelu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Ketika dihadapkan pertama kali ke mahkamah pada 10 Ogos lalu, dia mengaku tidak bersalah tetapi menukar pengakuan kepada bersalah apabila kes itu disebut semula pada 16 November lalu.
Pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Wahida Jalaluddin manakala Thangavelu diwakili oleh M Kathan.
Terdahulu, dalam rayuannya, Thangavelu memohon dikenakan hukuman ringan kerana sudah berusia dan pernah berkhidmat dengan kerajaan selama 37 tahun.
Bekas Pegawai Geosains itu juga memberitahu pernah menjalani pembedahan pintasan jantung pada 2008 dan kini masih menerima rawatan susulan akibat penyakit berkenaan.
Comments
Post a Comment