Rasuah: Pengurus syarikat dipenjara, denda

KUALA LUMPUR - Akibat merasuah pegawai Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), seorang pengurus syarikat khidmat pengangkutan dijatuhi hukuman penjara sebulan dan didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim Azura Alwi menjatuhkan hukuman itu terhadap Cheong Fook Seong, 57, selepas tertuduh mengaku bersalah memberi  suapan wang tunai RM3,000 kepada Pegawai Penguat Kuasa SWCorp Mohd Zaki Harry Susanto.

Rasuah itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap lori yang dipandu Said Abdullah milik Ngan Chooi Huah Enterprise kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 71(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara bermula dari tarikh dia ditangkap pada 12 Disember lalu dan penjara 20 bulan lagi sekiranya gagal membayar denda.  Tertuduh membayar denda itu.

Kesalahan itu dilakukan di pejabat Pegawai Penguat Kuasa KP48, Tingkat 4, SWCorp Wisma UOA Pantai, Jalan Pantai Jaya, di sini, pada 4.30 petang, 12 Disember lalu.

Pertuduhan  mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Lim Chi Chou merayu hukuman ringan, bagaimanapun Pegawai Pendakwa SPRM Afiqah Ab Razak memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pengajaran  mengambil kira kepentingan awam.

Mengikut fakta kes, pada 11 Dis lalu, beberapa pegawai daripada SWCorp  menahan sebuah lori milik Ngan Chooi Huah Enterprise yang telah membuang sisa tanah di lokasi yang tidak dibenarkan dan tidak berlesen sebelum lori tersebut diarahkan untuk dibawa balik ke Pejabat SWCorp.

Keesokan harinya pada 12 Disember, tertuduh  pergi ke pejabat SWCorp Wilayah Persekutuan untuk  membincangkan penahanan lori milik syarikat isterinya (Ngan Chooi Huah Enterprise) dan berjumpa dengan Mohd Zaki.

Dalam pertemuan itu, tertuduh telah meminta Mohd Zaki untuk membebaskan lorinya termasuk tidak mengenakan tindakan mahkamah dan pada masa sama tertuduh terus memasukkan wang sebanyak RM3,000 ke dalam poket Mohd Zaki. - Bernama


http://www.sinarharian.com.my/semasa/rasuah-pengurus-syarikat-dipenjara-denda-1.771800

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip