Tauke bot Vietnam dipenjara 6 bulan


KUALA TERENGGANU: Seorang tauke bot warga Vietnam dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan memberi suapan RM1,000 kepada pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia)

Keputusan itu dibuat Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz selepas tertuduh, Nguyen Thanh Thai, 34, mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memberi suapan wang tunai RM1,000 kepada seorang pegawai Maritim Malaysia, Kapten (M) Robert Teh Geok Chuan yang bertugas di KM PEKAN, Daerah Maritim 8, Indera Mahkota, Kuantan, Pahang di dalam Zon Maritim Malaysia (ZMM), jam 8.50 pagi, pada 22 November lalu.

Suapan itu sebagai dorongan untuk melepaskan bot nelayan bernombor pendaftaran KG 90658 TS daripada ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16 (3) Akta Perikanan 1985.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Amer Abu Bakar Abdullah, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, Maritim Malaysia yang melakukan rondaan menahan bot nelayan yang gagal melaporkan ketibaan kepada Jabatan Perikanan Malaysia ketika memasuki perairan Malaysia dan melanggar Akta Perikanan 1985.

Ketika itu, suspek memberi sejumlah wang sebanyak RM1,000 kepada pegawai Maritim Malaysia berkenaan supaya tidak mengambil tindakan undang-undang.


https://www.bharian.com.my/berita/kes/2017/12/362943/tauke-bot-vietnam-dipenjara-6-bulan

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip