Sindiket kereta klon: Empat termasuk kerani JPJ direman tujuh hari
ALOR SETAR - Empat individu termasuk seorang kerani wanita bahagian pendaftaran kenderaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri direman tujuh hari bagi membantu siasatan berkaitan sindiket kereta klon dari Singapura.
Majistret Dalilah Ismail membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an ditahan reman bermula hari ini sehingga 27 September ini.
Pasangan suami isteri itu dibawa ke mahkamah pada pukul 10.05 pagi manakala dua suspek lagi tiba kira-kira 40 minit kemudian.
Suspek berusia 31 tahun yang bertugas sebagai kerani di bahagian pendaftaran kenderaan JPJ negeri ini ditahan di pejabatnya sebelum dibawa ke bangunan SPRM kira-kira pukul 9.15 pagi semalam.
Suaminya yang merupakan seorang ejen kereta lusuh dari Singapura berumur 36 tahun pula ditahan di rumah mereka di Kulim.
Difahamkan, suspek disiasat kerana dipercayai bersekongkol dengan sindiket kereta klon yang turut dianggotai suaminya untuk mengubah status lebih 100 kenderaan mewah yang telah dilupuskan di Singapura agar boleh dijual dengan harga terpakai di negara ini.
Sementara itu, siasatan lanjut yang dijalankan terhadap kedua-dua suspek membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 33 tahun yang merupakan peniaga dalam talian di Kuantan, Pahang kira-kira pukul 2.30 petang ini.
Suspek keempat yang berusia 32 tahun itu berperanan sebagai individu yang membawa masuk dan membekalkan kenderaan kepada pasangan suami isteri terbabit ditahan pada pukul 11.50 malam di Kuala Lumpur.-UTUSAN ONLINE
Comments
Post a Comment