Jangan nanti salahkan SPRM

KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), TAN SRI DZULKIFLI AHMAD mengingatkan semua ahli dan parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) agar tidak terlibat dengan apa-apa aktiviti atau perbuatan yang menyalahi Akta SPRM dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. Kepada wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID, AZIAN AZIZ, ABD. AZIZ ITAR, AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI serta jurufoto NASIRRUDDIN YAZID di pejabat beliau, Dzulkifli memberitahu, SPRM akan memantau perjalanan kempen pilihan raya dengan menubuhkan 16 bilik gerakan dan menghantar pasukan khas turun ke lapangan. Beliau turut menegur parti-parti politik yang tidak menghantar nama untuk disaring. "Bukannya tugas kami di SPRM sebaliknya itu adalah tugas dan tanggungjawab parti-parti politik itu sendiri bagi memastikan calon-calon mereka itu bersih daripada isu rasuah dan salah guna kuasa," katanya. MINGGUAN: Setakat hari ini, apakah semua parti bertanding dalam PRU-14 sudah menghantar senarai calon kepada SPRM untuk disaring? Apakah tindakan SPRM sekiranya terdapat nama senarai calon yang bermasalah dalam senarai tersebut? DZULKIFLI: Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, setakat hari ini, SPRM hanya menerima senarai calon untuk disaring daripada Barisan Nasional (BN). Setelah kita buat saringan, kita telah pulangkan senarai tersebut kepada parti yang berkenaan dengan cadangan dan pandangan daripada SPRM terhadap calon tersebut. Namun demikian terserah kepada parti tersebut untuk menerima cadangan dan pandangan kerana keputusan itu dibuat sepenuhnya oleh parti yang berkenaan mengenai calon yang harus diketengahkan dalam pilihan raya. Bagi parti-parti yang belum menghantar senarai calon, itu terpulang kepada mereka. Kita akan terus memantau senarai nama-nama yang menjadi calon dalam pilihan raya ini. Terpulang kepada masyarakat atau rakyat untuk menilai atau memilih calon daripada parti-parti politik yang bertanding. Ini adalah perkara yang harus dititik beratkan oleh masyarakat dan negara untuk memastikan pemimpin yang dipilih nanti akan menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka dengan telus, jujur dan amanah tanpa terlibat dengan isu-isu rasuah dan salah guna kuasa. Bagaimana penerimaan BN terhadap pandangan SPRM itu? DZULKIFLI: Sebagaimana saya nyatakan, cadangan dan pandangan kita adalah rahsia dan kita hantar kepada parti yang berkenaan. Jadi kita hantar dan terpulang kepada parti politik tersebut untuk menentukan siapa yang akan menjadi calon. Kita cuma menerima senarai nama calon dan bukan lengkap dengan kawasan. Kita cuma membuat saringan terhadap individu dan bukan kawasan. Cadangan dan pandangan kita adalah terhadap individu berkenaan. Jadi, terpulanglah kepada parti itu untuk memutuskan dengan melihat cadangan dan pandangan itu sama ada wajar atau tidak untuk diletakkan calon tersebut mewakili parti berkenaan. Kita kena faham tidak ada peruntukan undang-undang yang mewajibkan orang yang hendak menjadi calon kena lulus saringan SPRM. Ini bukan peruntukan undang-undang tetapi cuma membantu parti-parti politik supaya calon yang hendak ditawarkan itu tidak terlibat dengan siasatan yang telah dijalankan oleh SPRM. Namun demikian, ada calon tidak ada dalam siasatan SPRM sebelum pilihan raya. Tetapi setelah menang dan menjalankan tugas dan tanggungjawab, dia terlibat dalam isu rasuah serta salah guna kuasa. Saringan itu tidaklah menjamin 100 peratus bahawa calon itu akan menjalankan tugas dengan bersih tanpa isu-isu rasuah dan salah guna kuasa. Apabila orang itu sudah berkuasa, macam-mana akan terjadi. Kadang-kadang apabila berhadapan dengan peluang yang ada, membuatkan seseorang itu buta dan lupa tentang tugas serta tanggungjawab. Jadi, selepas pilihan raya, kita tengoklah apa yang akan dilihat. Saya harap dan menyeru mereka yang dilantik nanti akan menjalankan tugas dan tanggungjawab tersebut tanpa isu-isu rasuah dan salah guna kuasa. Adakah parti-parti yang tidak menghantar nama-nama calon kepada SPRM rugi kerana mereka tidak tahu tentang calon-calon mereka? DZULKIFLI: Parti-parti pembangkang mungkin merasakan mereka mempunyai sistem yang lebih baik bagi membuat ‘saringan’ terhadap calon-calon mereka. Saya mahu nyatakan kalaulah calon-calon itu nanti menang dalam pilihan raya dan tiba-tiba kita menyiasat dan terdapat kes yang dibawa ke mahkamah maka jangan salahkan SPRM. Jangan kata ini satu konspirasi politik dan sebagainya. Sebabnya itu bukannya tugas kami di SPRM dan itu adalah tugas dan tanggungjawab parti-parti politik itu sendiri bagi memastikan calon-calon mereka itu ‘bersih’. Antara cara-caranya adalah menghububgi SPRM bagi membuat ‘saringan’. SPRM tidak tentukan calon. Kita cuba berikan pandangan dan cadangan, maka terpulanglah sama ada mahu meneruskan ataupun tidak. Tetapi sekurang-kurangnya mereka mendapat fakta yang berlaku sebagai asas untuk mereka membuat asas pemilihan ke atas seseorang calon itu. Bagaimana sekiranya calon yang terlibat dengan isu rasuah dan salah guna kuasa menang dalam PRU-14? DZULKIFLI: Sebab itu kita mengatakan bahawa kepentingan saringan itu dibuat untuk memastikan calon tersebut tidak mempunyai rekod atau tidak terlibat dengan siasatan yang dilakukan oleh SPRM. Sekiranya siasatan yang kita lakukan mempunyai keterangan mencukupi, tindakan akan diambil walaupun mereka menang dalam pilihan raya. Jangan salahkan SPRM. Ada calon yang terlibat dalam siasatan SRPM tetapi bertanding dalam PRU-14. Komen Tan Sri? DZULKIFLI: Bagi saya, seseorang itu daripada segi Perlembagaan dan peruntukan undang-undang yang sedia ada selagi mana seseorang itu didapati tidak bersalah oleh mahkamah dan juga sehingga di peringkat mahkamah tertinggi negara maka daripada segi kelayakannya individu itu boleh bertanding dalam mana-mana pilihan raya. Namun, terpulang kepada rakyat untuk menilai selepas siasatan dibuat, pertuduhan pun telah dibuat dan kita tunggu keputusan mahkamah. Ini kerana, keputusan itulah yang akan menentukan selepas ini nanti tentang status mereka yang telah terlibat dan dituduh di mahkamah. Cuma bagi pendapat saya parti-parti politik sepatutnya mendapat ‘clearance’ daripada SPRM mengenai status sesorang yang hendak dicalonkan atau dijadikan calon dalam pilihan raya sama ada mereka ini terlibat sebagai saksi ataupun sebagai suspek dalam sesuatu siasatan. Oleh sebab mereka ini terlibat maka ia tidak menghalang SPRM bagi melengkapkan siasatan serta seterusnya mengambil tindakan yang sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang walaupun ada kemungkinan calon itu akan menang dalam pilihan raya. Kita akan lengkapkan siasatan dan ambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang. Sebab itu saya merasakan menjadi tanggungjawab, moral bagi parti politik bagi memastikan calon-calon mereka walaupun ia bukan di bawah peruntukan undang-undangtetapi tanggungjawab moral agar calon-calon yang ditawarkan adalah calon yang terbaik dan bersih daripada isu-isu rasuah dan salah guna kuasa. Kalau sebelum ini mereka terlibat dalam siasatan maka perlu dipastikan sama ada mereka itu sebagai disyaki melakukan kesalahan atau hanya sebagai saksi. Kalau yang disiasat itu adalah suspek maka kemungkinan pada masa hadapan sekiranya calon itu menang maka sekiranya siasatan telah lengkap dan peryuduhan dibuat di mahkamah. Boleh Tan Sri ceritakan tentang kerjasama antara SPRM dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menangani isu-isu kesalahan dalam pilihan raya khususnya berkaitan aktiviti kempen pilihan raya yang berunsur rasuah? DZULKIFLI: Bagi PRU-14 ini, SPRM menjalin kerjasama begitu erat dengan SPR. SPRM juga menubuhkan bilik gerakan PRU-14 di setiap negeri di seluruh negara. Lebih 16 bilik gerakan diwujudkan dan bilik gerakan itu akan beroperasi selama 24 jam. Saya telah mengarahkan pegawai-pegawai kita untuk mengerah seluruh tenaga yang ada untuk memastikan bilik gerakan operasi bagi PRU-14 dapat dijalankan dengan sempurna. Kita memandang serius aktiviti atau perbuatan yang menyalahi Akta SPRM dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. Bagi memastikan pilihan raya kali ini bersih daripada kesalahan rasuah dan salah guna kuasa, bilik gerakan itu ditubuhkan bagi memudahkan rakyat melaporkan kepada SPRM sekiranya terdapat apa-apa aktiviti atau perbuatan yang menyalahi Akta SPRM atau Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. Mungkin ramai pemimpin dan ahli politik masih tidak jelas apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan semasa kempen pilihan raya. Dengar cerita, kalau calon belanja rakyat minum pun dianggap sebagai rasuah? DZULKIFLI: Sebenarnya tidak terdapat banyak peruntukan khususnya di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. Yang ada hanya empat iaitu seksyen 7, seksyen 8, seksyen 9 dan seksyen 10 yang menjadikan sesuatu perbuatan itu sebagai perbuatan rasuah yang menjadi kesalahan di bawah akta tersebut. Seksyen 7 merujuk kepada kesalahan penyamaran. Di bawah seksyen lapan tentang penjamuan. Misalnya, parti politik atau individu yang bertanding itu menyediakan atau membuat bayaran untuk makanan dan minuman. Ini termasuklah memberikan kupon makanan dan minuman. Di bawah seksyen 9 pula kesalahan untuk memberi pengaruh tidak wajar iaitu dengan menggunakan kekerasan, keganasan atau halangan bagi orang untuk mengundi atau tidak mengundi. Seksyen 10 pula tentang kesalahan penyogokan iaitu dia berjanji menawarkan wang, pekerjaan atau apa-apa balasan bagi tujuan mempengaruhi pengundi untuk mengundi atau tidak mengundi. Ini adalah kesalahan-kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. Saya harap seluruh ahli dan parti politik memastikan mereka tidak melakukan perbuatan atau aktiviti yang melanggar seksyen 7, seksyen 8, seksyen 9 dan seksyen 10 di bawah akta tersebut. Jika perbuatan itu dilakukan dan kalau kita dapat laporan, kita akan menyiasat dan mengambil tindakan yang sewajarnya menurut peruntukan undang-undang tersebut. Bagaimana pula dengan manifesto kerana ia mengandungi pelbagai janji dan tawaran kepada rakyat. Apakah itu juga dikategorikan sebagai rasuah? DZULKIFLI: Manifesto adalah proses biasa dalam demokrasi bagi memberi tawaran kepada rakyat untuk memilih apa yang mereka akan buat sekiranya dipilih sebagai pemimpin pada masa hadapan. Ini suatu proses biasa dalam demokrasi untuk meyakinkan masyarakat bahawa ini adalah tawaran terbaik kepada rakyat. Bagi saya, tiada masalah dari sudut manifesto atau apa-apa janji yang hendak dijalankan selepas pilihan raya tersebut. Ini terbuka. Mana-mana parti politik berhak untuk mengemukan apa-apa tawaran atau janji. Yang penting ialah selepas manifesto dan janji tersebut dibuat, saya harap parti politik dan individu-individu terlibat menunaikan dan melaksanakan janji tersebut tanpa isu-isu rasuah dan salah guna kuasa. Kadang-kadang kita buat pelbagai janji dan manifesto tetapi tidak menunaikannya. Kadang-kadang kita jalankan tetapi terpalit dengan isu rasuah dan salah guna kuasa. Sekiranya itu berlaku, SPRM akan mengambil tindakan yang sewajarnya. Apakah penggunaan aset kerajaan termasuk kenderaan rasmi oleh pemimpin kerajaan Persekutuan dan negeri dibenarkan selepas pembubaran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN)? DZULKIFLI: Mengenai perkara itu, kita perlu merujuk kepada peraturan asal apa yang berlaku selepas Parlimen dan DUN dibubarkan. Apabila Parlimen atau DUN dibubarkan, bukanlah bermaksud kerajaan yang sedia ada itu sudah tidak wujud atau tidak lagi berkuasa. Cuma yang lupus hanyalah amalan Parlimen dan DUN. Perlembagaan Persekutuan mahupun negeri tidak memperuntukkan secara khusus apakah yang terjadi kepada kerajaan memerintah selepas pembubaran Parlimen dan DUN. Berdasarkan amalan konvensyen seperti negara Malaysia, kita mengikut sistem Westminster yang mana kerajaan sedia ada itu akan bertukar statusnya menjadi kerajaan sementara. Dalam keadaan tersebut, kami di SPRM berpandangan penggunaan aset atau kenderaan rasmi kerajaan oleh mana-mana individu dalam kerajaan selepas pembubaran Parlimen atau DUN, bukanlah suatu kesalahan selagi mana aset atau kenderaan tersebut digunakan dalam tugas-tugas rasminya seperti sebagai menteri atau ahli Parlimen, dan bukan bagi tujuan peribadi seperti untuk kempen politik. Pada pandangan SPRM, tidak ada masalah bagi kerajaan sedia ada, sama ada Persekutuan atau negeri menggunakan aset kerajaan termasuk kenderaan kerana kerajaan itu masih ada. Cuma jangan digunakan untuk tujuan kempen. Itu mungkin akan menjadi suatu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. MINGGUAN: Apa nasihat Tan Sri agar PRU kali ini benar-benar bebas daripada kes rasuah dan salah guna kuasa? DZULKIFLI: Saya ingin menasihati semua pihak yangterlibat dalam PRU kali ini khususnya ahli-ahli politik dan parti-parti politik bagi memastikan pilihan raya kali ini dijalankan tanpa apa-apa isu rasuah dan salah guna kuasa khususnya dengan tidak melanggar apa-apa peruntukan undang-undang di bawah Akta SPRM mahupun Akta Pilihan Raya 1954 bagi tempoh pilihan raya kali ini. Bagi ahli-ahli politik dan parti-parti yang terlibat memastikan segala aktiviti-aktiviti kempen yang dijalankan tidak melanggar peruntukan undang-undang yang sedia ada. Kepada rakyat Malaysia secara amnya pula, saya menyeru agar mereka ini tidak terlibat juga dengan melakukan atau terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang bertentangan dengan peruntukan undang-undang. Saya menyeru rakyat Malaysia membuat pilihan yang terbaik agar pemimpin yang dipilih itu nanti ialah pemimpin yang berwibawa. Malah, yang lebih penting ialah mereka ini bersih daripada isu-isu rasuah dan salah guna kuasa. Saya juga menyeru sekiranya sesiapa mempunyai maklumat atau berhadapan dengan mana-mana individu atau ahli politik yang menggunakan taktik kotor yang merupakan suatu kesalahan di bawah akta-akta tersebut, jangan risau untuk melaporkan kepada SPRM. Kami akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang sedia ada. http://www.utusan.com.my/rencana/utama/jangan-nanti-salahkan-sprm-1.660830#ixzz5E6hG1MHF



Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip