Suami isteri didakwa kemuka invois palsu lebih RM90,000

KUALA LUMPUR 11 April - Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan 160 mengemukakan invois palsu dan bersubahat berhubung pembekalan cenderahati yang keseluruhannya berjumlah RM91,500, tahun lalu.

Mohd. Raji @ Mohd. Radzi Kasdi, 51, merupakan seorang kakitangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), dan isterinya, Norlela Surip, 49, bekas kerani di Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso)  masing-masing mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Radzi didakwa telah memberi kepada Pengurus Cawangan (Pentadbiran Am), Bahagian Khidmat Pengurusan, Perkeso dengan niat hendak memperdayakan prinsipalnya, satu dokumen iaitu invois syarikat Nadzwa Resources milik Mohd. Radzi berjumlah RM42,000 bagi membekalkan dan menghantar pelbagai cenderahati yang mengandungi butiran palsu mengenai kerja-kerja pembekalan cenderahati kepada pihak Perkeso walhal pembekalan itu tidak dilakukan.

Sementara itu, Norlela didakwa telah bersubahat bersama suaminya atas perbuatan sama.

Dalam pada itu, mereka juga didakwa bersama-sama memberi kepada pengurus serupa iaitu invois palsu syarikat M’Dia Enterprise berjumlah RM49,500 bagi membekalkan dan menghantar gambar berserta bingkai kayu mengenai kerja-kerja pembekalan gambar berserta bingkai kayu kepada Perkeso walhal pembekalan itu tidak dilakukan.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di Cawangan Pentadbiran Am, Menara Perkeso, di sini antara 23 Januari dan 27 Januari 2017.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Amirah Sariaty Zainal.

Mahkamah membenarkan jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh untuk kesemua pertuduhan dan menetapkan 10 Mei ini untuk sebutan semula kes.- UTUSAN ONLINE


http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/video-suami-isteri-didakwa-kemuka-invois-palsu-lebih-rm90-000-1.646620#ixzz5CLNiVFY1 

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip