SPRM akan pastikan pemimpin dipilih bebas rasuah

KUALA LUMPUR 18 April - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memastikan semua wakil rakyat yang dipilih selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) bebas daripada gejala rasuah.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, beliau tidak sabar menunggu hari tersebut dan mengajak mahasiswa untuk turut serta menjejak pemimpin yang terlibat dengan gejala tidak bermoral itu.

“Memang, saya tidak sabar tunggu PRU-14, kerana saya mahu pastikan mereka yang dipilih adalah benar-benar layak dan tidak terlibat rasuah.

“Kita akan pastikan negara kita ditadbir mereka yang bebas daripada gejala rasuah,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Mahasiswa Anti Rasuah (Komawar) di Auditorium Utama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini hari ini.

Hadir sama, Rektor UIAM, Prof. Datuk Seri Dr. Zaleha Kamarudin.

Dalam pada itu, beliau turut memuji inisiatif dijalankan Sekretariat Pencegahan Rasuah (SPR) UIAM yang menjadi mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) pertama mengadakan lafaz Ikrar Bebas Rasuah di sini.

Menurut beliau, inisiatif tersebut seiring dengan program Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang dilancarkan kerajaan.

“Mahasiswa yang berada di hadapan saya ini akan menjadi pemimpin negara menjelang 2050 nanti dan mereka yang akan memastikan negara bebas daripada gejala rasuah.

“Malam ini juga sejarah akan tercipta dengan pelancaran Gerakan Mahasiswa Anti Rasuah (Gema) yang bertujuan menjalankan pelbagai kempen gerakan anti rasuah untuk menyuntik kesedaran tentang perlunya mahasiswa menghindari gejala rasuah,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE


http://www.utusan.com.my/berita/nasional/video-sprm-akan-pastikan-pemimpin-dipilih-bebas-rasuah-1.652399#ixzz5D56H7cOm 

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip