Anggota polis dituduh rasuah

KUALA TERENGGANU: Dua anggota polis berpangkat sarjan mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah.

Zainuddin Sulaiman, 54, dan Mat Zahari Jusoh, 57, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.

Mengikut kertas pertuduhan, Zainuddin didakwa dengan niat bersama meminta suapan wang tunai RM1,500 daripada Zaliha Dollah, sebagai dorongan untuk tidak menuduh wanita itu dan anaknya, Azrida Suryati Abdul Aziz, di mahkamah, bagi kesalahan menghalang penjawat awam melakukan tugas.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu pada 25 Februari di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Besut dan didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009.

Mat Zahari pula didakwa secara rasuah meminta dan memperoleh suapan wang tunai RM800 daripada Zaliha, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap wanita itu dan anaknya, di mahkamah, bagi kesalahan menghalang penjawat awam melakukan tugas.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16 (a)(B) akta SPRM dan Seksyen 17(a) akta sama itu kira-kira jam 11.20 pagi pada 28 Februari lalu di perkarangan Mahkamah Majistret Besut.

Sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, bergantung kepada mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Amer Abu Bakar Abdullah, manakala tertuduh diwakili peguam, Nik Mohd Radhia Nik Abdul Ghani.

Mohamad Haldar kemudian membenarkan Zainuddin diikat jamin RM7,000, manakala Mat Zahari RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/04/410259/anggota-polis-dituduh-rasuah

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip