Kerajaan komited perangi gejala rasuah

PUTRAJAYA - Kerajaan Pakatan Harapan (PH) komited untuk memerangi rasuah sehingga peringkat akar umbi sebaik sahaja memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) bulan lalu.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara tersebut telah dinyatakan dengan jelas dalam manifesto PH bagi membanteras gejala rasuah di negara ini.

"Sebelum PRU-14, (Perdana Menteri) Tun Dr. Mahathir Mohamad dan rakan-rakan pimpinan PH telah menjelajah seluruh pelosok negara, bandar, pinggiran bandar, luar bandar dan Felda untuk menyatakan tentang perkara ini (perangi rasuah).

"Rakyat tahu dan sedar bahawa rasuah ini merupakan satu isu besar. Jika rasuah tidak dibanteras, maka rakyat yang akan menanggung derita. Kos pengurusan negara menjadi mahal (tetapi) bebanannya rakyat yang tanggung," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini semalam. Turut hadir Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim, barisan pegawai tertinggi dan warga kerja KDN serta agensi-agensi di bawah kementerian tersebut.

Perhimpunan tersebut merupakan kali pertama dihadiri Muhyiddin sebagai Menteri Dalam Negeri selepas kerajaan PH memenangi PRU-14.

Dalam ucapannya, Muhyiddin turut mengingatkan pimpinan tertinggi dan warga kerja KDN dan agensi-agensi di bawahnya agar bekerjasama sebagai satu pasukan.

"KDN antara kementerian yang berada di barisan hadapan. Kita (KDN) menguruskan soal-soal penting dalam negara, antaranya soal keselamatan, kawalan pintu masuk sempadan Malaysia, isu pengambilan pekerja-pekerja asing dan juga isu berkaitan dengan kawalan-kawalan jenayah.

"Kesemua isu berkenaan mempunyai kesan yang cukup besar kepada negara. Kita juga adalah rakyat dan kita tahu ini adalah perkara utama yang tidak boleh diabaikan. Bila mana rakyat tahu bahawa pengabaian berlaku atau situasi tidak aman berlaku dalam kalangan kita, rakyat akan marah," ujarnya.

Pada masa sama, Muhyiddin mengingatkan soal integriti harus menjadi keutamaan warga kerja KDN dan setiap agensi di bawah kementerian itu.

"Integriti adalah satu perkara yang disebutkan oleh pihak kerajaan sejak sekian lama (termasuklah) dari segi pentadbiran, pengurusan, pelaksanaan tugas dan sikap serta amalan kita.

"Yang penting, imej dan wibawa ini tidak tercemar hanya disebabkan segelintir dalam kalangan kita yang melakukan sesuatu yg tidak berintegriti.

"Majoriti mungkin buat perkara yg baik tetapi segelintir yang kecil. (Jangan disebabkan) setitik nila, rosak susu sebelanga.

"Saya yakin dan percaya, pentadbiran peringkat tertinggi melihat soal integriti dan etika ini sentiasa ditekankan. Saya harap ini tidak terlepas pandang dan diberi perhatian berat oleh kita semua," katanya. - K! ONLINE


http://www.kosmo.com.my/terkini/kerajaan-komited-perangi-gejala-rasuah-1.687185

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip