Tekong bot warga Vietnam didenda RM10,000, sebulan penjara

KUANTAN: Tekong bot warga Vietnam didenda RM10,000 dan sebulan penjara di Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku salah merasuah pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) RM20,000 pada 3 Mei lalu.

Tertuduh Lam Ngoan cuba merasuah Leftenan Komander Maritim Mahadi Ismail pada jam 9.50 pagi kira-kira 100 batu nautika dari perairan Kuantan.

Hakim Mahkamah Sesyen Mohd Ghazali Mohamad Taib turut memerintahkan warga Vietnam berusia 42 tahun itu dipenjara sebulan jika gagal membayar denda.

Bapa kepada tiga anak itu dituduh menawarkan rasuah supaya tidak menahannya yang melakukan kesalahan menangkap ikan tanpa permit mengikut Seksyen 8(a) Akta Perikanan 1985 dengan denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga memahami pertuduhan yang dibacakan terhadapnya dan mengaku salah menerusi jurubahasa mahkamah.

Peguam tertuduh, Mohd Suhaimi Ismail kemudian meminta mahkamah mengurangkan denda berikutan tertuduh ada anak yang masih bersekolah dan menyara keluarga di Vietnam.

"Lam hanya berpendapatan antara RM1,000 hingga RM1,500 sebulan.

"Dia sudah ditahan 55 hari (sejak 3 Mei lalu) dan memohon hukuman diringankan," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kamariah Seman memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan kesalahan dilakukan tertuduh.


https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/06/441910/tekong-bot-warga-vietnam-didenda-rm10000-sebulan-penjara

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip