Tuntutan palsu: Bekas pegawai Perhilitan didenda RM117,000

KUANTAN 27 Ogos - Seorang bekas pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) hari ini didenda RM117,000 selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan membuat tuntutan palsu berhubung pembelian 88 unit beg kembara bernilai RM23,400, lima tahun lalu.

Hakim Dazuki Ali turut menjatuhkan hukuman penjara empat tahun kepada Abu Zahrim Ismail, 45, bagaimanapun membenarkan penggantungan pelaksanaan hukuman penjara itu sehingga tertuduh memfailkan notis rayuan dalam tempoh 14 hari.

Bagi hukuman denda, tertuduh perlu membayarnya hari ini dan jika gagal berbuat demikian Abu Zahrim akan dipenjara selama 10 bulan.

Abu Zahrim didakwa dengan niat memperdaya Ketua Pengarah Perhilitan membuat tuntutan palsu atas nama Baraplas Kreatif Enterprise di Pejabat Penguasa Taman Negara Jerantut, dekat sini pada 28 November 2013.

Tuntutan tersebut didakwa mengandungi pembelian 28 unit beg Haversack 75 liter jenama Deuter dan 60 unit Dry Pack 30 liter sedangkan barangan tersebut tidak diterima.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai butiran palsu atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Fadhly Mohd. Zamry.

Tertuduh diwakili peguam Datuk Hanif Hassan. - UTUSAN ONLINE


http://www.utusan.com.my/berita/mahkamah/tuntutan-palsu-bekas-pegawai-perhilitan-didenda-rm117-000-1.736651#ixzz5PQSL4AlV 

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip