Bekas Pengarah SKM Pahang didakwa menipu

KUANTAN: Bekas Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Pahang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan penipuan membabitkan Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi berjumlah RM5,000 tiga tahun lalu.

Tertuduh, Datuk Mohamad Zawawi Mahmud, 55, yang kini memegang jawatan sebagai Pengarah Pengurusan Dana dan Pelaburan SKM di Putrajaya bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mohd Ghazali Mohamad Taib.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan penipuan dengan mendorong Ketua Unit Promosi dan Pengembangan SKM Pahang, Fadzlurrahman Zainuddin menyerahkan wang peruntukan daripada Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi berjumlah RM5,000.

Tertuduh mendakwa wang berkenaan untuk digunakan bagi program Seminar Usahawan Muda Berkoperasi daerah Rompin di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) kampus Sultan Haji Ahmad Shah, Muadzam Shah yang akan dilaksanakan pada 18 Oktober 2016.

Bagaimanapun program berkenaan tidak dianjurkan pada tarikh yang dimaklumkan kepada Fadzlurrahman.

Mohamad Zawawi melakukan kesalahan itu di SKM Pahang pada 10 Oktober 2016 dan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebatan atau boleh dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Fadhly Mohd Zamry, manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Amirull Afiqq Mohamad Lokman.

Ketika mengemukakan rayuan, Muhammad Amirull Afiqq memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan yang minimum memandangkan anak guamnya memberi kerjasama sepanjang proses siasatan dilakukan.

Tertuduh juga perlu menanggung isteri dan anak.

Mohd Ghazali membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 22 April depan untuk sebutan semua kes.


https://www.bharian.com.my/berita/kes/2019/03/543205/bekas-pengarah-skm-pahang-didakwa-menipu

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip