Jelajah seluruh Sabah sebar kempen anti dadah, sampah, rasuah
KOTA KINABALU 6 Dis. - Kesedaran terhadap usaha mencegah penggunaan dadah, membanteras aktiviti rasuah dan menjaga kebersihan memberi inspirasi kepada tujuh peserta untuk berkayuh ke seluruh negeri bagi membawa mesej berkenaan.
Program julung kalinya diadakan itu dianjurkan bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Sabah.
Acara pelepasan disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Jainab Ahmad pada pukul 9 pagi ini di pekarangan bangunan DBKK.
Yang turut hadir ialah Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Yeo Boon Hai dan Pengarah SPRM Sabah, Datuk Shahrom Nizam Abdul Manap.
Seorang peserta Valens Victor, 19, berkata, mereka akan menjelajah ke seluruh negeri dengan berbasikal selama 11 hari sehingga 16 Disember ini.
Apa yang penting misi kami adalah untuk menyampaikan kesedaran kepada orang ramai di negeri ini mengenai kemudaratan gejala rasuah, penyalahgunaan dadah serta kebersihan.
Kami akan singgah ke 33 buah daerah di Sabah dan memberikan ceramah kepada komuniti terutama para belia agar tidak terjebak dengan gejala dadah dan rasuah, katanya ketika ditemui pemberita pada program itu. - UTUSAN ONLINE
http://www.utusan.com.my/berita/nasional/jelajah-seluruh-sabah-sebar-kempen-anti-dadah-sampah-rasuah-1.416917#sthash.ztEV33YS.dpuf
Comments
Post a Comment