Tuntut pesalah rasuah serah diri
KOTA BHARU 10 Dis. – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menuntut pesalah rasuah supaya tampil menyerah diri bagi mengelakkan daripada dikenakan hukuman lebih berat melalui rundingan yang berlandaskan undang-undang.
Pengarah SPRM negeri, Datuk Moh Samsudin Yusof berkata, pihaknya membuka peluang untuk pertimbangan dari segi hukuman namun berlandaskan undang-undang ditetapkan sekiranya individu yang terlibat dengan jenayah itu bekerjasama dengan SPRM.
“Ini adalah pesanan daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM sendiri dan saya hanya memanjangkan apa yang dimaklumkan kepada kami.
Tuntutan itu disuarakan Moh Samsudin selepas pihaknya mengenal pasti beberapa individu penting dalam organisasi termasuk pegawai kanan kerajaan terlibat dengan rasuah bernilai jutaan ringgit.
Katanya, siasatan di peringkat awal turut mendapati penyelewengan yang membabitkan penjawat awam.
“Apa yang boleh saya katakan, kita sedang menyiasat lebih daripada tiga kes berprofil tinggi sama ada organisasi, individu dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.
“Apabila proses siasatan awal ini selesai, kita akan membuka siasatan terbuka, maka saya menyeru mereka yang terlibat supaya menyerah diri,” katanya.
Terdahulu beliau menghadiri majlis perasmian Hari Anti Rasuah Antarabangsa Peringkat Negeri Kelantan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di sini hari ini.
Perasmian Hari Anti Rasuah yang bertemakan 'Sehati Sejiwa Memerangi Rasuah' itu disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.
Dalam perkembangan berkaitan, Moh Samsudin berkata, kebanyakan kesalahan rasuah di Kelantan melibatkan kes tuntutan palsu.
Katanya, kebanyakan kes berkenaan melibatkan kontraktor yang melaksanakan kerja-kerja tanpa mengikut spesifikasi sebenar.
“Mereka (kontraktor) juga sering melakukan kesalahan seperti melakukan pinjaman dengan bank atau agensi-agensi lain dengan memalsukan dokumen.
“Sekarang kita ada beberapa kes melibatkan tuntutan palsu ini yang akan didakwa di mahkamah,” ujarnya.
http://www.utusan.com.my/berita/nasional/video-tuntut-pesalah-rasuah-serah-diri-1.418656#sthash.Ha5rSksj.dpuf
Comments
Post a Comment