Sasar bersih rasuah 3 tahun
KUALA LUMPUR 9 Dis. - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyasarkan tempoh tiga tahun untuk membersihkan tiga sektor kritikal negara daripada amalan rasuah.
Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, tiga sektor kritikal itu melibatkan perkhidmatan awam iaitu agensi-agensi penguatkuasaan, badan-badan pengawal dan pihak berkuasa tempatan serta negeri, syarikat milik kerajaan (GLC) dan sektor swasta, terutama institusi kewangan serta perbankan.
Menurut beliau, fokus dan penekanan turut diberikan kepada tindakan merampas semula harta dan hasil rasuah agar dapat dikembalikan sebagai hasil negara sekali gus melumpuhkan secara keseluruhan punca kepada perilaku jenayah rasuah itu.
Katanya, kerancakan operasi yang dijalankan SPRM sejak kebelakangan ini telah menunjukkan hasil yang membanggakan setelah penguatkuasaan dilipatgandakan bermula Ogos lalu bagi memerangi gejala rasuah di negara ini.
“Melalui tindakan-tindakan yang agresif dari sudut pelaksanaan operasi dan penguatkuasaan serta penganjuran aktiviti-aktiviti pendidikan masyarakat secara berterusan, hasrat SPRM untuk menjadi sebuah agensi yang digeruni perasuah pada masa yang sama mesra rakyat dilihat semakin dirasai orang ramai.
“Ini kerana sokongan dan keinginan rakyat untuk berganding bahu bersama SPRM dalam usaha membanteras rasuah bertambah dan meningkat,” katanya semasa berucap pada Hari Anti Rasuah Antarabangsa 2016 di sini hari ini,
Dzulkifli berharap segala usaha dan inisiatif SPRM mendekati rakyat melalui program masyarakat dapat meraih kepercayaan, keyakinan serta sokongan rakyat selain memastikan momentum kejayaan dari aspek operasi dan penguatkuasaan yang dicapai kini berkekalan.
“Walaupun ada kedengaran suara-suara sinis baru-baru ini yang begitu skeptikal dalam menidakkan sokongan rakyat terhadap usaha yang dijalankan, namun seluruh warga SPRM akan terus maju ke medan perjuangan bagi mendepani sebarang bentuk kritikan dan cabaran.
“Kita amat menginginkan Malaysia berada di bawah 50 kelompok negara-negara terbaik dalam kedudukan persepsi indeks rasuah (CPI) yang dikeluarkan,” ujarnya.
Menyentuh mengenai program yang bertemakan Sehati Sejiwa Memerangi Rasuah itu, Dzulkifli menjelaskan, pelbagai aktiviti akan diadakan bersama-sama rakan strategik bagi menyebarkan mesej benci rasuah kepada masyarakat sepanjang acara yang berlangsung selama dua hari sehingga esok.
https://www.utusan.com.my/berita/nasional/sasar-bersih-rasuah-3-tahun-1.418398
Comments
Post a Comment