Koperal ambil rasuah dipenjara sehari, denda RM20,000
AYER KEROH: Seorang anggota polis
berpangkat koperal dihukum penjara sehari dan denda RM20,000 oleh Mahkamah
Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah menerima rasuah berjumlah
RM4,000, Januari lalu.
Hakim Mohd Nasir Nordin memerintahkan
Ariffin Md Sharip, 45, menjalani hukuman penjara tambahan enam bulan, jika
gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, Ariffin didakwa
memperoleh suapan wang tunai RM4,000 daripada Johaidi Muhamad sebagai dorongan
tidak mengambil tindakan ke atas dua kereta PROTON Persona dan Wira serta
sebuah motosikal Honda Wave walaupun mengesyaki Johaidi memiliki kenderaan itu
secara tidak sah di Balai Polis Tengkera, kira-kira jam 6 petang, pada 21
Januari lalu.
Dia dituduh mengikut Seksyen 17(a) Akta
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut
Seksyen 24 akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh
dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau
RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM,
Mohammed Heikal Ismail yang melakukan pendakwaan memohon mahkamah memberikan
hukuman setimpal terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, peguam bela Haslinda Abu
Bakar yang mewakili tertuduh merayu hukuman ringan dikenakan dengan alasan anak
guamnya mempunyai tanggungan seorang isteri dan empat anak, selain ibunya
berusia 60 tahun yang menghidap penyakit jantung.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak,
mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara sehari dan denda RM20,000.
Tertuduh kemudian membayar denda berkenaan.
http://www.bharian.com.my/node/225332
http://www.bharian.com.my/node/225332
Comments
Post a Comment