KENYATAAN MEDIA RASMI SPRM: CUBA TERIMA RASUAH: DUA POLIS DIPENJARA, DENDA RM30,000

DUA anggota polis dijatuhkan hukuman penjara selama dua tahun dan denda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas kesalahan cuba menerima rasuah bernilai RM6,000, lima tahun lalu.
Hakim Asmadi Husin menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Lans Koperal Joe Stephen, 31, dan Konstabel Mohd. Farid Che Aziz, 33, selepas pihak pembelaan gagal mematahkan hujahan pendakwa raya.
Joe dan Mohd. Farid didakwa cuba menerima rasuah sebanyak RM6,000 sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap seorang lelaki atas kesalahan dikehendaki polis dan memiliki kereta seludup.
Kedua-duanya didakwa melakukan kesalahan tersebut di parkir Balai Polis Pandamaran, Klang, kira-kira pukul 4.30 pagi pada 3 April 2012.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.
Bagi pihak SPRM, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohammed Heikal Ismail.

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA
13 FEBRUARI 2017

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip