KENYATAAN MEDIA RASMI SPRM: PTD PETALING AGENSI KERAJAAN PERTAMA NEGERI SELANGOR TANDATANGANI IBR

Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Petaling mencatat sejarah sebagai agensi kerajaan pertama Negeri Selangor yang menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Majlis melafaz dan menandatangani IBR yang berlangsung di Dewan PTD Petaling, Shah Alam, Selangor itu diketuai oleh Pegawai Daerah Petaling, Dato' Mohd. Misri Idris dan disaksikan oleh Pengarah SPRM Negeri Selangor, Dato' Wan Ramli Wan Abdullah.

Menurut Wan Ramli, penyertaan kira-kira 250 anggota PTD Petaling dalam majlis tersebut bersempena dengan perhimpunan bulanan agensi berkenaan jelas membuktikan sokongan berterusan agensi itu dalam memerangi rasuah bersama SPRM.

"Kehadiran warga PTD Petaling dalam majlis ini merupakan satu menifestasi yang jelas dan lantang terhadap komitmen padu untuk terus berusaha bagi menjadikan negara kita bersih serta bebas daripada kegiatan rasuah.

"Penglibatan agensi ini dalam menandatangani IBR secara tidak langsung juga menjadi pembakar semangat kepada seluruh warga kerja SPRM untuk terus berjuang dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab dalam memerangi jenayah rasuah serta salah guna kuasa secara habis-habisan," kata beliau ketika memberi ucapan pada majlis tersebut.

IBR merupakan satu inisiatif baharu yang diperkenalkan oleh SPRM lanjutan daripada Ikrar Integriti Korporat (CIP) untuk memastikan setiap individu yang menandatangani ikrar tersebut akan lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas mereka dan menjauhkan diri daripada sebarang perlakuan rasuah selama mereka memegang jawatan berkenaan.

Tambah beliau, IBR yang ditandatangani tersebut adalah unik dan berbeza berbanding CIP kerana ia memberi penekanan kepada ikrar serta janji yang dibuat oleh kepimpinan PTD Petaling dan warganya dalam kapasiti sebagai individu untuk menjunjung tanggungjawab bagi menghindari daripada sebarang godaan rasuah dan salah guna kuasa sepanjang melaksanakan tugas.

"Tindakan para kepimpinan PTD Petaling dan warganya untuk menandatangani IBR jelas memperlihatkan keikhlasan, komitmen kerja dan keinginan agensi itu untuk berkhidmat dalam suasana kerja yang kondusif dan bebas rasuah demi kepentingan rakyat.

"Keterbukaan dan sifat kebertanggungjawaban yang dipamerkan oleh kepimpinan PTD Petaling dan warganya turut membuktikan usaha membanteras rasuah bukan tanggungjawab eksklusif SPRM semata-mata, sebaliknya merupakan amanah dan tugas yang perlu dikongsi oleh seluruh anggota masyarakat khususnya dalam kalangan agensi-agensi kerajaan," ujar beliau.

Tambahnya, aspirasi dan kesedaran yang ditunjukkan oleh PTD Petaling harus dipuji serta perlu menjadi contoh kepada agensi-agensi kerajaan yang lain bagi memastikan negara kita bebas daripada sebarang jenayah rasuah.


SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA

7 FEBRUARI 2017              

       

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip