Program Ziarah Kasih SPRM dilancar
BALING 18 Feb. – Program pertama Ziarah Kasih Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilancarkan di Kampung Sadek, Kupang, dekat sini hari ini.
Selain menjadi platform untuk SPRM mendekati rakyat, program itu juga memberi peluang kepada badan itu me nerangkan tugas dan fungsinya dalam membanteras gejala rasuah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, program itu adalah tanda ke prihatinan SPRM kepada rak yat dan beliau bersyukur serta teruja kerana dapat bersama-sama penduduk menjalankan pelbagai aktiviti.
“Program ini akan dijadikan program bersiri, yang akan dilaksanakan dari semasa ke semasa,” katanya semasa ber ucap pada perasmian program itu di masjid kampung itu.
“Selepas ini SPRM akan turun ke beberapa lokasi lain bagi mendekati lebih ramai rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.
Dzulkifli menegaskan, SPRM akan terus menjalankan tugas dan memastikan negara ditadbir mengikut proses undang-undang sebenar.
Beliau berkata, pihaknya akan pastikan tiada siapa yang menyalahgunakan kuasa dan tidak mengikut undang-undang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kupang, Datuk Harun Abdul Aziz merasmikan program tersebut.
Pada majlis sama, Dzulkifli turut melancarkan Tabung Yayasan Prihatin SPRM bagi membantu penduduk yang kurang berkemampuan.
Terdahulu, Dzulkifli menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian kepada kira-kira 2,000 penduduk kampung terbabit. – BERNAMA
Comments
Post a Comment