Klinik tawar kelulusan PSV palsu tumpas
PULAU PINANG 15 Feb. - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri berjaya menumpaskan kegiatan tujuh klinik di negeri ini yang menawarkan khidmat memperbaharui Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) palsu.
Seramai 10 orang termasuk seorang doktor klinik kerajaan dan enam doktor klinik swasta ditahan dalam serbuan kira-kira pukul 3 petang semalam.
Pengarah SPRM negeri, Datuk Abdul Aziz Aban berkata, kesemua suspek beroperasi secara berasingan melibatkan klinik di Bukit Mertajam, Batu Feringghi, Pekan Lama, Glugor dan Perai.
“Mereka dipercayai menjalankan kegiatan itu antara empat dan 10 tahun lalu dengan menggunakan ‘runner’ bagi mencari pemohon PSV yang tidak mahu menjalankan pemeriksaan doktor seperti disyaratkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Kerani yang bertugas bersama klinik itu juga dibenarkan meluluskan borang pemeriksaan perubatan dengan menggunakan tandatangan sendiri,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambah Abdul Aziz, ‘runner’ pula dipercayai memberi perkhidmatan pengesahan doktor tanpa memerlukan pemohon ke klinik kerana salah seorang yang ditangkap mempunyai enam cop palsu atas nama dua klinik dan tiga nama doktor tidak wujud.
“Buat masa ini kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM tetapi kita akan semak semula jika ada akta lain yang boleh digunakan dan kesemua suspek direman bermula hari ini,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE.
Comments
Post a Comment