KENYATAAN MEDIA RASMI SPRM: MPS PBT PERTAMA TANDATANGANI IBR



Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mencatat sejarah sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama yang menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Majlis melafaz dan menandatangani IBR yang berlangsung di Dewan Keraian, Menara MPS, Selayang, Selangor itu diketuai oleh Yang Dipertua MPS, Suliman Abd. Rahman dan disaksikan oleh Pengarah SPRM Negeri Selangor, Dato' Wan Ramli Wan Abdullah.
Menurut Wan Ramli, penyertaan barisan kepimpinan MPS kira-kira 50 orang yang terdiri daripada ketua dan timbalan ketua jabatan MPS itu merupakan satu manifestasi kepada sokongan dan komitmen berterusan untuk menjadikan negara bebas daripada belenggu jenayah rasuah.
"Penglibatan agensi ini dalam menandatangani IBR secara tidak langsung juga menjadi pembakar semangat kepada seluruh warga kerja SPRM untuk terus berjuang dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab dalam memerangi jenayah rasuah serta salah guna kuasa secara habis-habisan," kata beliau ketika memberi ucapan pada majlis tersebut.
IBR merupakan satu inisiatif baharu yang diperkenalkan oleh SPRM untuk memastikan setiap individu yang menandatangani ikrar tersebut akan lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas mereka dan menjauhkan diri daripada sebarang perlakuan rasuah selama mereka memegang jawatan berkenaan.
Tambah beliau, perbincangan bersama Ketua Unit Integriti MPS sebelum ini juga merupakan satu langkah positif bagi menjalinkan satu rangkaian kerjasama strategik lebih erat, meningkatkan integriti dan perlu menjadi contoh kepada agensi kerajaan lain di Selangor khususnya dalam memerangi rasuah.
"Tindakan para kepimpinan MPS menandatangani IBR ini juga jelas memperlihatkan keikhlasan, komitmen kerja dan keinginan untuk berkhidmat dalam suasana kerja yang kondusif dan bebas rasuah demi menjalankan tanggungjawab dan amanah kepada rakyat, " katanya.
Tambahnya lagi, aspirasi dan kesedaran ini harus dipuji serta menjadi ikutan dan contoh kepada agensi-agensi kerajaan yang lain.

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA

14 FEBRUARI 2017

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip