Bekas pengarah, bekas pembantu Petronas Carigali didakwa

KUALA LUMPUR 12 Mac - Seorang bekas pengarah syarikat cari gali minyak dan bekas pembantu teknikal di Petronas Carigali Sdn. Bhd. dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan membuat tuntutan yang mengandungi butiran palsu dalam urusan kerja-kerja cari gali melibatkan wang berjumlah hampir RM20 juta, tiga tahun lalu.

Yong Mee Lan, 54, dan Ahmad Ashraf Kamarul Zaman, 29, masing-masing membuat pengakuan tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Madihah Harullah.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, mereka dengan niat bersama didakwa telah memberikan Ketua Projek di Petronas Carigali Sdn. Bhd., Saiful Adli Ismail melalui sistem SAP dua dokumen iaitu tuntutan ‘request order’ berjumlah RM14 juta yang mengandungi butiran palsu iaitu tuntutan bagi ‘Operation Day Rate’ bagi tempoh kerja antara 23 Januari 2015 dan 21 Februari 2015 bertujuan untuk mengelirukan Saiful Adli.

Bagi pertuduhan ketiga, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama dan telah mengemukakan tuntutan itu melalui empat request order berjumlah RM6 juta antara 23 Januari 2015 dan 23 Mac tahun sama bagi tujuan mengelirukan Saiful Adli.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Petronas Carigali, di sini antara 24 Mac 2015 dan 20 April 2015.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohammad Heikal Ismail.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM500,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport perlu diserah kepada mahkamah selain 16 April ini untuk sebutan semula kes. - UTUSAN ONLINE


http://www.utusan.com.my/berita/mahkamah/bekas-pengarah-bekas-pembantu-petronas-carigali-didakwa-1.625838#ixzz59a1JF38I 

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip