KOPERAL TENTERA DIPENJARA 30 BULAN, SATU SEBATAN AKIBAT SALAH GUNA WANG RM50,238.10
Seorang anggota tentera berpangkat Koperal yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dihukum penjara 30 bulan dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh bagi setiap 79 pertuduhan menyalahgunakan wang keseluruhan berjumlah RM50,238.10 berhubung pembayaran elaun anggota tentera di Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK), Kem Sungai Udang, Melaka, hari ini.
Hakim Datuk Nasir Nordin memutuskan demikian ke atas Musa Md. Dawi, 28, setelah dia mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan itu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.
Hakim bagaimanapun membenarkan hukuman berjalan serentak mulai hari ini.
Mengikut pertuduhan, pada April hingga Julai 2016, tertuduh yang bertugas sebagai kerani gaji di Bahagian Sel Belanjawan PULPAK dengan curangnya telah menyalahgunakan harta bukan miliknya iaitu elaun perjalanan dan elaun cuti tahun PULPAK dengan nilai keseluruhannya RM50,238.10 apabila tertuduh mencipta 43 baucar bayaran bagi 79 penama yang kononnya anggota yang bertugas di PULPAK.
Bagaimanapun, hasil semakan oleh Jabatan Arah Rekod dan Pencen, Markas Angkatan Tentera Malaysia terhadap 79 penama di dalam 43 baucar bayaran yang dicipta oleh tertuduh, didapati bahawa 58 penama adalah tidak wujud, tiga penama berpencen dan 18 penama yang wujud telah menafikan membuat tuntutan elaun tersebut.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irwan Shah Abdul Samat.
SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA
29 MAC 2018
Comments
Post a Comment