Setahun pikul tugas yang belum selesai
Pada 17 Mei lalu, genaplah setahun pelantikan rasmi saya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan keutamaan menyelesaikan ‘tugas yang belum selesai’. Setelah setahun sembilan bulan meninggalkan SPRM, langkah pertama saya kembali ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya ketika itu turut diiringi dengan 1001 harapan, baik daripada masyarakat luar mahu pun pegawai SPRM sendiri. Suatu amanah yang cukup berat untuk dipikul bersendirian. Harapan utama rakyat pasca pilihan raya ketika itu ialah bagi membersihkan Malaysia yang sudah terpalit dengan skandal rasuah mega serta pelbagai lagi penyelewengan dan salah guna kuasa. Sebaik sahaja saya menjejak kaki ke Ibu Pejabat SPRM, saya memberi fokus kepada dua isu penting. Pertama menyelesaikan masalah dalaman pegawai SPRM dengan menyatu semua pegawai supaya bersatu hati, bersama-sama bekerja keras melaksanakan amanah mencegah rasuah dan salah guna kuasa demi negara. Dalam perhimpunan pertama bersama pegawai-peg