Dua pegawai laut didakwa rasuah

JOHOR BAHRU : Dua pegawai laut Jabatan Laut Malaysia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini masing-masing atas dua pertuduhan meminta serta memperoleh rasuah dan bersubahat melakukan perbuatan itu, empat tahun lalu.

Tertuduh, Sanizam Bachok, 45, dan Nor Yazid Khairi Mohamad Noor, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dihadapi mereka selepas ia dibacakan jurubahasa mahkamah secara berasingan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Bagi pertuduhan pertama, Sanizam yang kini bertugas di Jalan Laut Malaysia, Pulau Pinang, didakwa meminta suapan RM70,000 daripada seorang kakitangan sebuah syarikat perkapalan sebagai dorongan untuk mengeluarkan surat kelulusan beroperasi Kapal Hai Tai 1, Kapal Hai Tai 2 dan Kapal Hai Tai 3.

Ketika kejadian, tertuduh adalah Pegawai Laut Gred 41 di Jabatan Laut Malaysia (Wilayah Selatan), manakala, Nor Yazid Khairi sebagai Pegawai Laut Gred 44 pula didakwa bersubahat dengan Sanizam melakukan perbuatan itu.

Bagi perbuatan yang dilakukan kira-kira jam 6 petang, 25 November 2015, mereka didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, Sanizam didakwa secara rasuah memperoleh RM50,000 daripada kakitangan syarikat perkapalan itu bagi tujuan yang sama.

Nor Yazid Khairi pula didakwa bersubahat dengan Sanizam melakukan perbuatan itu dalam kejadian kira-kira jam 11.10 pagi pada 27 November 2015.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman yang sama, jika sabit kesalahan.

Semua perbuatan itu dilakukan kedua-dua tertuduh di sebuah restoran dekat Anjung Neighborhood Centre 5, Persiaran Ledang Heights, Iskandar Puteri di sini.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa SPRM, Norsyarina Raizan yang menawarkan jaminan RM50,000 terhadap kedua-dua tertuduh.

Sanizam dan Nor Yazid Khairi yang tidak diwakili peguam itu memohon jumlah ikat jamin ditawarkan dikurangkan memandangkan masing-masing mempunyai tanggungan keluarga.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua mereka diikat jamin RM20,000 setiap seorang dan menetapkan 10 Februari ini untuk sebutan semula kes.


https://www.bharian.com.my/berita/kes/2019/01/515634/dua-pegawai-laut-didakwa-rasuah

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip