SPRM perlu diberi kebebasan menyiasat, mendakwa

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diberi kebebasan dan ruang secukupnya ketika menjalankan proses penguatkuasaan dan pendakwaan membabitkan individu terjebak dengan amalan rasuah.

Bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed, berkata ia penting bagi memastikan tiada unsur berat sebelah atau menimbulkan sebarang kesangsian terhadap kes dikendalikan SPRM.

“Alhamdulillah, ketika mula-mula menjadi Ketua Pesuruhjaya SPRM, saya menekankan terhadap aspek kebebasan dalam proses penguatkuasaan dan pendakwaan kes rasuah.

“Dalam hal ini, kalau bebas menyiasat tapi tak bebas mendakwa pun susah juga.

“Saya percaya semua perkara berbangkit sudah diberi perhatian dan akan diperkukuhkan dari masa ke semasa,” katanya pada segmen Ruang Bicara Bernama News Channel (BNC), malam ini.

Mengulas perkembangan berkaitan, Abu Kassim yang juga Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC), berkata Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023 tidak menggantikan Pelan Integriti Nasional (PIN) sebaliknya kesinambungan terhadap usaha PIN.

“PIN satu pelan yang cukup bagus, namun ada kekurangannya.

“Kita melihat NACP sebagai kesinambungan usaha PIN yang lalu, PIN bukan tidak berkesan, tidak berjaya, namun ia memerlukan pemerkasaan dan perubahan,” katanya.

Mengenai GIACC, Abu Kassim, berkata pihaknya mendapat persetujuan Kabinet untuk merangka undang-undang baharu yang memfokuskan terhadap sumbangan pembiayaan membabitkan parti politik di negara.

Beliau berkata, GIACC juga sedang membuat draf mengenai perincian berkaitan undang-undang itu yang akan dibentangkan untuk diluluskan Kabinet.

“Undang-undang itu akan menyatakan dengan jelas apa yang boleh dan apa yang tidak boleh, rakyat masih tidak jelas amalan apa yang sebenarnya dikira rasuah.

“Dalam hal ini, kita lihat perkembangan politik negara. Pemilihan pemimpin dalam parti politik pun ada rasuah.

“Kita mahu semua orang faham, tidak mahu ada sebarang kelompangan dalam sistem undang-undang negara di mana seseorang itu berjaya putar belit dan mengatakan ia bukan rasuah sedangkan ia sebaliknya,” katanya.

Mengulas lanjut, Abu Kassim menegaskan, SPRM sentiasa bertindak mengikut aduan tanpa mengira latar belakang pesalah.

“Kita cari kebenaran, tidak kisah siapa sama ada pemimpin kerajaan atau pembangkang. Tiada istilah balas dendam,” katanya.


https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/01/521201/sprm-perlu-diberi-kebebasan-menyiasat-mendakwa

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip