55 peratus daripada 1,902 tangkapan rasuah di bawah 40 tahun
Sebanyak 55 peratus daripada 1,902 tangkapan rasuah pada 2013 hingga kini melibatkan golongan berusia antara 20 dan 40 tahun.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim berkata pelbagai program sudah dijalankan bagi mengurangkan bilangan golongan itu terlibat dalam rasuah.
Katanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Bahagian Pencegahan bertanggungjawab untuk mendekati golongan muda bagi mengatasi masalah itu.
"Jumlah ini pada kami besar dan kami ada program untuk pastikan ia dapat dikurangkan...budaya dan nilai bencikan rasuah harus diterapkan terutama melalui pendidikan kepada mahasiswa," katanya.
Beliau bercakap pada sidang media selepas menutup Konvensyen Sekretariat Pencegahan Rasuah Kali Ke-6 2016 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di sini hari ini.
Konvensyen anjuran SPRM selama tiga hari yang bertemakan 'Mahasiswa Pencetus Gelombang Transformasi Belia Berintegriti' itu disertai 500 mahasiswa dari seluruh negara.
Konvensyen itu meluluskan 'Resolusi Gombak' yang antara lain meminta supaya elemen integriti dan antirasuah diserapkan dalam kurikulum semua Institusi Pengajian Tinggi di Malaysia dan aplikasi rasmi Sekretariat Pencegahan Rasuah diwujudkan.
Mengenai cadangan elemen pendidikan antirasuah dimasukkan dalam silibus institut pengajian tinggi, Razali berkata perkara itu masih di peringkat perbincangan.
"Kami masih berbincang bersama Kementerian Pengajian Tinggi untuk melaksanakan cadangan berkenaan," katanya.
Razali juga berkata masyarakat tidak perlu takut untuk memberi maklumat kepada SPRM mengenai salah laku rasuah kerana ada akta yang melindungi pengadu.
Katanya mereka yang menyalurkan maklumat dilindungi Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) dan Akta Perlindungan Saksi 2009 (Akta 696).
"Tidak ada alasan bagi orang ramai tidak bekerjasama dengan SPRM kerana identiti pemberi maklumat adalah rahsia," kata Razali.
-- BERNAMA
Comments
Post a Comment