Dzulkifli pentingkan amanah, tegas dan adil

PUTRAJAYA 1 Ogos – Datuk Dzul­kifli Ahmad hari ini memulakan tugasnya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu dengan harapan supaya semua pihak dapat memberi kerjasama dan sokongan kepadanya serta SPRM dalam membanteras rasuah di negara ini.

Beliau juga berazam akan terus menerajui usaha-usaha pencegahan rasuah di Malaysia secara amanah, tegas dan adil.

Menurut Dzulkifli, pelantikan tersebut merupakan peluang untuk beliau terus berkhidmat dan berbakti kepada negara dengan berusaha sebaik mungkin melaksanakan tanggungjawab sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

“Saya sedar dan insaf akan cabaran getir serta harapan tinggi yang diletakkan di atas bahu saya, sehubungan itu kerjasama semua pihak amat diharapkan untuk menggembleng tenaga membanteras gejala rasuah di Malaysia.

"Saya menerima pelantikan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM dengan penuh rasa rendah hati dan kesyukuran ke hadrat Allah. Saya juga dengan penuh rasa hormat dan takzim ingin merafak sembah menjunjung kasih di atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah atas pelantikan ini dan merakamkan penghargaan kepada kerajaan berikutan kepercayaan yang diberikan kepada saya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, Dzulkifli hadir ke Ibu Pejabat SPRM di sini untuk mengetip kad perakam waktu tepat pada pukul 8 pagi sebelum masuk ke pejabatnya dengan disambut oleh barisan pengurusan tertinggi SPRM yang dike­tuai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme), Datuk Seri Mohd. Jamidan Abdullah.

Yang hadir sama menyambut ketibaan beliau ialah Pengarah Bahagian Keselamatan SPRM, Datuk Alias Salim dan Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki.

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip