Skip to main content

Lagi ‘jerung’ diburu SPRM


KUALA LUMPUR 16 Ogos - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ti­dak menolak kemungkinan akan menahan beberapa lagi ‘jerung’ terdiri daripada pegawai ting­gi badan awam dan syarikat milik kerajaan (GLC) yang terlibat dalam kes-kes rasuah, salah gu­na kuasa serta pengubahan wang haram dan membekukan harta-harta yang diperoleh mereka secara jenayah.


Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki berkata, ini merupakan pendekatan terbaharu pihaknya berikutan kejayaan penahanan tiga individu termasuk yang bergelar Datuk Seri dan Datuk melibat dakwaan rasuah dan salah guna kuasa berjumlah RM13 juta yang didedahkan semalam.

Menurutnya, usaha menjeja­ki mereka yang hidup me­wah hasil kegiatan itu sedang dijalankan pihak SPRM.
“Tunggulah nanti, jika ada penahanan dibuat kita akan maklumkan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan SPRM semalam yang membekukan akaun simpanan berjumlah lebih RM13 juta dan menahan tiga penjawat awam termasuk dua daripada mereka yang berpangkat Datuk Seri dan Datuk.

Kesemua mereka ditahan atas kesalahan menyalahgunakan kuasa, rasuah serta pengubahan wang haram di tiga negeri iaitu Kuala Lumpur, Melaka dan Kelantan.

Berikutan penahanan tersebut, SPRM bertindak membeku wang simpanan termasuk amanah saham bernilai RM1 juta hingga RM6 juta meliputi jumlah keseluruhannya mencecah RM13 juta.

Selain pembekuan akaun tersebut, turut disita ialah beberapa aset seperti kondominium mewah termasuk penthouse dan banglo selain kenderaan mewah jenis Maserati, BMW dan Audi yang dipercayai hasil kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram.

SPRM turut menjumpai wang tunai mencecah RM400,000 termasuk mata wang asing selain beberapa utas jam tangan mewah.

Dalam pada itu, Azam membe­ri­tahu, pihaknya akan memanggil beberapa individu bagi membantu siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa tersebut.

“Apa yang pasti mereka yang akan dipanggil ini bukan VVIP (orang kenamaan). Mereka ini dipanggil hanya untuk bantu kita lengkapkan siasatan,” katanya.


Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip