Dzulkifli Mahu 'Bersihkan' Perkhidmatan Awam
PUTRAJAYA, 13 Ogos (Bernama) --
Perkhidmatan awam yang bersih daripada gejala rasuah, penyelewengan dan salah
guna kuasa. Itu fokus utama Ketua Penguat Kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) yang baharu, Datuk Dzulkifli Ahmad dalam menerajui organisasi
itu.
"Kita tidak mahu perkhidmatan awam
dicemari dengan perbuatan rasuah dan ada pegawai kanan yang dilihat
berkehidupan mewah melebihi pendapatannya serta mengumpul harta melalui
perbuatan jenayah rasuah," katanya dalam temu bual bersama BERNAMA, di
sini hari ini.
Beliau berkata penumpuan akan diberi kepada
agensi penguatkuasaan, kawal selia, pihak berkuasa tempatan dan syarikat
berkaitan kerajaan selaras dengan hasrat Program Transformasi Kerajaan.
Katanya peranan pegawai integriti juga akan
diperkukuhkan agar integriti serta tadbir urus perkhidmatan awam dapat
dipertingkatkan.
"Ini akan mengurangkan ketirisan dan
terus memastikan sistem penyampaian perkhidmatan awam mencapai satu tahap yang
lebih memberangsangkan," katanya.
"Golongan yang tiada maruah diri
inilah yang menyebabkan keseluruhan perkhidmatan awam tercemar dan dipandang
serong," katanya.
Dzulkifli yang sebelum ini merupakan
Pengarah Pasukan Penguat Kuasa Pemulihan Hasil Negara di Jabatan Peguam Negara
turut melihat pelantikannya sebagai 'bos' baharu SPRM akan mengeratkan lagi
kesinambungan hasil kerjasama positif yang telah dilaksanakan antara Pasukan
itu dan SPRM yang telah terjalin sekian lama.
"Pengalaman yang saya jana ketika
berfungsi sebagai Pengarah Pasukan Penguat Kuasa Pemulihan Hasil Negara serta
keterlibatan saya dalam pendakwaan beberapa kes rasuah, jenayah perdagangan dan
pengubahan wang haram berprofil tinggi akan saya kongsikan bersama
pegawai-pegawai SPRM.
"Ini sudah tentu dapat melancarkan dan
membantu memperluaskan lagi usaha-usaha pencegahan dan pembanterasan gejala
rasuah," katanya.
Pada sesi temu bual itu, Dzulkifli turut
menegaskan bahawa tugas dan peranannya kini bukan hanya tertumpu kepada
meneruskan usaha untuk menyiasat kes berprofil tinggi malah juga memfokuskan
kepada kes-kes berkepentingan rakyat.
"Ini tidak bermakna bahawa kita akan
meminggirkan kes-kes yang kecil kerana kesalahan rasuah ini tidak bersempadan.
Sama ada kecil atau besar nilai rasuah, ia tetap satu kesalahan," katanya.
"Isu rasuah adalah isu rakyat dan SPRM
harus dilihat bersama rakyat dan sebagai pembela rakyat," katanya.
Dzulkifli berkata dalam menjamin usaha
mencegah jenayah rasuah dilaksanakan secara holistik, SPRM kini akan memberi
fokus kepada usaha-usaha dan tindakan merampas semula harta-harta yang
diperoleh hasil gejala rasuah berdasar peruntukan undang-undang sedia ada.
Dalam temu bual sulung dengan media itu,
Dzulkifli turut memberi nasihat dan amaran kepada mereka yang terlibat dengan
rasuah dan salah guna kuasa agar menghentikannya dengan kadar segera sebelum
SPRM mengambil tindakan.
- BERNAMA
Comments
Post a Comment