Kerajaan cadang jadikan Modul Pencegahan Rasuah IPT subjek wajib

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang berusaha untuk memastikan Modul Pencegahan Rasuah di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dijadikan mata pelajaran wajib di semua universiti tempatan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim berkata, ketika ini, modul berkenaan telah digerakkan di peringkat sekolah dan IPT.

"Kita sudah mula buat dalam sekretariat kita di sekolah dan IPT. Salah satunya, alumni dan jawatankuasa yang ada sekarang ini, merupakan salah satu pendekatan untuk kita sebagai silibus tetap," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Penutup Sekretariat Pencegahan Rasuah (SPR) kali ke-6 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini hari ini.

Buat masa ini katanya, modul berkenaan tidak melibatkan semua pelajar kerana ia masih belum dijadikan subjek wajib di universiti.

"Cadangan untuk mengadakan silibus program sebagai silibus yang tetap ini yang kita tengah bincangkan. Ada satu kursus di semua universiti dulu dipanggil Tamadun Islam," jelas beliau.

Dalam pada itu, Razali turut mendedahkan, kira-kira 55 peratus daripada 1,902 tangkapan rasuah adalah melibatkan golongan belia berusia dalam lingkungan umur 20 hingga 40 tahun sejak 2013 hingga 2016.

"Pada kita, jumlah ini adalah besar dan kita jayakan program (pencegahan rasuah) ini untuk memastikan perkara itu dapat kita kurangkan. Kes melibatkan kesalahan memberi dan menerima rasuah," katanya lagi.

Tegasnya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan tetap mengambil tindakan ke atas mana-mana individu tanpa mengira kedudukan dan pangkat.

"Kes besar atau kecil, kita akan ambil tindakan. Jumlah itu besar jadi cara nak menyelesaikannya kita adalah kita dekati mereka (belia)," jelasnya.
Razali pada masa sama tidak melihat hukuman adalah jalan penyelesaian paling berkesan dalam menangani rasuah.

"Rasuah indikatornya adalah persepsi, pembudayaan nilai-nilai murni dan penolakan kepada rasuah ini adalah perkara lebih utama. SPRM ada beberapa bahagian iaitu pencegahan, pendidikan supaya satu hari nanti rakyat benci kepada rasuah ini," tegasnya.

http://www.astroawani.com/berita-malaysia/kerajaan-cadang-jadikan-modul-pencegahan-rasuah-ipt-subjek-wajib-113416

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip