Banteras papar kisah benar SPRM

SELEPAS mencipta kejayaan menerusi filem kepolisan Polis Evo, pengarah Ghaz Abu Bakar sekali lagi bakal menampilkan sebuah karya berkisarkan pasukan penguatkuasaan undang-undang.

Namun, menerusi karya berbentuk drama bersiri sebanyak 13 episod berjudul Banteras itu, Ghaz memberi fokus kepada jenayah rasuah yang diterajui Suruhanjaya Pencegah Rasuah (SPRM) berhubung rasuah yang berleluasa sejak kebelakangan ini.

Drama cetusan idea SPRM dengan kerjasama Fantasy Films itu merupakan salah satu cara badan tersebut menyampaikan mesej kepada orang ramai tentang bahaya jenayah rasuah.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak yang turut hadir pada majlis pelancaran dan sidang akhbar drama berkenaan di Cyberjaya baru-baru ini berkata, pihaknya yakin penyaluran maklumat menerusi medium drama seperti dalam Banteras mampu mendidik rakyat supaya tidak menjadikan rasuah sebagai satu budaya.

“Rakyat perlu menghargai usaha kerajaan dalam membanteras rasuah. Rakyat cepat mengutuk tetapi tidak memahami perasaan dan tugasan berat yang perlu dipikul pegawai SPRM, khususnya apabila melibatkan siasatan serta penangkapan kes rasuah.

“Saya harap drama Banteras dapat memperjelaskan mesej tersurat dan tersirat dengan jelas,” kata Salleh.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamsun Baharun Mohd. Jamil menjelaskan, pihaknya sekadar memberi input terhadap penulisan skrip dan garis panduan tentang cara kerja pegawai SPRM, selebihnya diserahkan kepada Ghaz untuk mencantikkan lagi naskhah Banteras.

“SPRM hanya memberi input berdasarkan kes-kes sebenar yang telah ditutup. Kami juga memberi garis panduan tentang cara kerja pegawai SPRM dan barisan pelakon perlu menghadiri kelas khas untuk mereka memahami operasi SPRM,” ujar Shamsun.

Bajet besar

Meskipun hanya sebuah drama bersiri, bajet yang dikeluarkan untuk penghasilan drama Banteras hampir mencecah RM1 juta memandangkan Ghaz sangat teliti dan mementingkan kualiti dalam setiap karyanya.

Bukan itu sahaja, drama Banteras juga mempertaruhkan nama hebat dalam bidang lakonan seperti Nam Ron, Khir Rahman dan Sangeeta Krishnasamy.

Tambah Ghaz, drama tersebut menelan bajet yang besar kerana durasi penggambarannya akan lebih panjang berbanding drama biasa iaitu selama tiga bulan bermula September depan.

“Saya tidak mahu berkarya dengan terburu-buru kerana amat mementingkan kualiti skrip, aspek teknikal dan lakonan.

“Drama ini bukan sahaja melibatkan emosi tetapi aksi dan lagak ngeri. Justeru, persediaan rapi perlu dilakukan sebelum penggambaran dan ia menuntut masa serta wang.

“Barisan pelakon juga harus memasuki kelas khas untuk benar-benar faham gaya kerja pegawai SPRM,” kata Ghaz.

Pada masa sama, Ghaz tidak menafikan mengambil inspirasi drama popular Hollywood seperti Quantico tetapi disesuaikan dengan budaya dan masyarakat setempat.

Ghaz juga tidak kisah seandainya Banteras kelak disamakan dengan Quantico oleh penonton.

“Jika disamakan dengan drama Quantico ia satu pujian kerana berjaya meletakkan kualiti drama setaraf terbitan Hollywood.

“Bagaimanapun, ia akan berbeza kerana kes-kes yang disiasat dalam Banteras berlaku di Malaysia bukannya di Amerika Syarikat,” ujar Ghaz.

Sebagai salah seorang pelakon, Sangeeta pula tidak dapat menyembunyikan keterujaannya apabila dipilih sebagai pelakon utama drama berkenaan.

Baginya, penglibatan dalam karya tersebut merupakan peluang keemasan yang tidak perlu dilepaskan selain jalan cerita yang begitu dekat dengan dirinya selaku graduan undang-undang. Sangeeta sebelum ini menuntut di University Of London, England.

“Biarpun tidak menjadi peguam, tetapi drama yang berkisarkan undang-undang begitu dekat dengan diri saya,” katanya yang mula terkenal menerusi filem Adiwiraku.


http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0804&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_03.htm

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip