JANGAN MELAMPAUI BATAS
MUKADIMAH: Sejak kebelakangan ini kritikan dan kecaman semakin lantang dilemparkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Segalanya hanya disebabkan ketegasan agensi itu melaksanakan tanggungjawab memerangi rasuah dan salah guna kuasa tanpa mengira siapa.
Tidak kira kerajaan mahupun pembangkang, semuanya akan disiasat jika terdapat cukup asas dan bukti. Bagaimanapun tindakan SPRM yang berteraskan memenuhi impian rakyat bagi memerangi jenayah tersebut habis-habisan dipandang serong.
Ada pihak-pihak tertentu begitu lantang mengkritik SPRM dan menuduh apa yang dilakukan agensi berkenaan bermotif politik. Persoalannya, adakah segala tindakan SPRM itu salah? Apakah SPRM wajar berdiam diri terhadap sesuatu laporan hanya disebabkan ia melibatkan orang politik?
Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR , Ketua Pesuruhjaya SPRM, DATUK DZULKIFLI AHMAD dengan tegas menjawab segala kritikan yang dihalakan kepada agensi tersebut.
Sambil mengingatkan puak-puak tersebut jangan melampaui batas dalam membuat tuduhan, beliau juga menegaskan, "Saya dan rakan-rakan seperjuangan di SPRM tidak akan berundur dan tidak akan dilemahkan walau apa jua bentuk cabaran mendatang".
MINGGUAN : Sepanjang setahun SPRM di bawah kepemimpinan Datuk, SPRM dilihat begitu konsisten mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat dengan jenayah rasuah dan salah guna kuasa dan ia semakin memuncak dan ‘panas’ khususnya di dalam bulan ini. Dengan kekangan sumber manusia dan diasak dengan kritikan daripada pelbagai pihak, dari mana Datuk mendapat kekuatan untuk meneruskan tugas yang mencabar ini?
DZULKIFLI: Memang pada penghujung Julai lalu saya telah menyatakan bahawa bulan Ogos dan September ini akan menjadi bulan yang agak ‘panas’. ‘Kepanasan’ itu dan kegerahan itu akan dirasai dan ditujukan khusus kepada mereka yang terlibat dengan jenayah rasuah dan salah guna kuasa.
Walaupun wujud kekangan dari sudut bilangan sumber manusia yang ada namun kami di SPRM tetap istiqamah, teguh dan cekal dalam meneruskan tindakan demi menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan.
Sumber kekuatan saya dan rakan-rakan di SPRM yang terbesar datangnya daripada sokongan dan kepercayaan rakyat yang semakin bertambah dan tidak berbelah bahagi.
Seringkali apabila saya berada dalam kalangan masyarakat, saya akan dihampiri oleh ramai individu yang mengucapkan tahniah kepada SPRM di atas keberanian tindakan yang diambil dan mereka turut memberikan kata-kata semangat agar saya dan rakan-rakan di SPRM meneruskan perjuangan.
Rata-ratanya rakyat kebanyakan begitu gembira dan mengalu-alukan pendekatan agresif SPRM kerana mereka merupakan kelompok paling terkesan apabila kita berbicara berkenaan isu rasuah dan salah guna kuasa.
Di dalam pertemuan-pertemuan ini pula saya sering meminta masyarakat untuk memberikan sokongan dan berdoa untuk kami di SPRM.
Saya yakin doa-doa yang dikirimkan oleh rakyat Malaysia inilah yang terus menggerakkan semangat dan memberikan kekuatan serta ketabahan kepada kami untuk terus melaksanakan tugas.
Jadi saya kira, sokongan rakyat dan doa-doa mereka inilah yang menjadi sumber kekuatan utama saya.
Walaupun SPRM dilihat memiliki keberanian yang begitu nyata dan agresif dalam menjalankan tugasnya, namun kebelakangan ini dilihat serangan dan kritikan terhadap cara SPRM melaksanakan tugasnya juga tidak kurang hebatnya. Apa pandangan Datuk mengenai perkara ini?
DZULKIFLI: Tugas yang dilaksanakan oleh SPRM sebenarnya merupakan suatu tugas yang begitu sunyi dan sepi. Apabila kita dituduh dan dikatakan tidak melakukan tugas maka kita diserang.
Apabila kita dilihat melakukan tugas maka kita turut diserang juga, malah kadangkala asakannya lebih kuat dan hebat.
Apabila tindakan yang diambil SPRM melibatkan ahli-ahli politik sama ada di pihak kerajaan mahu pun pembangkang maka kami akan dikritik dan dituduh pula bertindak kerana bermotifkan politik.
Jadi pendek kata apa sahaja yang dilakukan tidak akan ada sebarang pujian, yang sering kedengaran hanyalah hinaan, cacian, tuduhan dan kritikan daripada mereka yang berkepentingan dan sering bermain wayang di mata masyarakat.
Warga SPRM yang seharusnya dilihat sebagai wira kerana berani mengambil tindakan kini dilihat sebagai ‘villain’ atau penjahat pula.
Perlu diingatkan bahawa kaedah atau cara SPRM melaksanakan siasatan, dari sudut tangkapan dan prosedur mengendalikan pesalah adalah merupakan pendekatan sama yang diambil sebelum ini terhadap mana-mana individu.
Namun apabila tindakan diambil terhadap ‘personaliti-personaliti’ tertentu pula maka akan kedengaranlah kokokan dan salakan di sana sini mengenai hak dan kepentingan mereka yang disiasat dan diambil tindakan oleh SPRM.
Sedangkan hak, kepentingan, keselamatan dan kebajikan pegawai-pegawai SPRM langsung tidak dibangkitkan, dipertahankan dan diambilkira. Lebih menyedihkan apabila kritikan-kritikan yang tidak mengimbangi hak agensi penyiasat ini, terdiri daripada golongan yang ‘dikatakan cerdik’ dari sudut undang-undang dan akademik.
Persoalannya benarkah mereka ini benar-benar celik undang-undang dan serius dalam memerangi jenayah rasuah dan salah guna kuasa atau sekadar isu rasuah ini menjadi mainan di bibir sahaja.
Jadi, walaupun reaksi-reaksi sebegini tidak mengejutkan namun ia kadangkala agak mengecewakan kerana menunjukkan golongan yang mengkritik ini tidak ikhlas dalam benar-benar ingin memastikan negara kita bersih dan bebas daripada jenayah rasuah dan salah guna kuasa.
Mereka ini tidak ikhlas dalam menjiwai aspirasi dan suara rakyat yang mahukan gejala rasuah ini dihentikan dengan sebenar-benarnya.
Sungguhpun serangan-serangan terhadap SPRM ini berterusan, namun percayalah selagi SPRM menjalankan tugasan mengikut lunas undang-undang, mendapat sokongan serta dokongan rakyat, selagi kami di SPRM diberi ketenangan dan hidayah daripada Allah SWT, maka saya dan rakan-rakan seperjuangan di SPRM tidak akan berundur dan tidak akan dilemahkan walau apapun jua bentuk cabaran yang mendatang.
Mengambilkira kekangan dan kekurangan sumber manusia di SPRM berbanding bilangan operasi serta tindakan penguatkuasaan yang tidak henti-henti, mampukah SPRM meneruskan momentum ini kerana permintaan dan harapan rakyat semakin meningkat?
DZULKIFLI: Saya menyedari lumrah masyarakat begitulah. Apabila kita telah bekerja dengan baik dan menunjukkan hasilnya maka harapan masyarakat mahukan lebih lagi daripada apa yang sedia ada.
Bagaimanapun saya ingin menjelaskan pada masa ini SPRM hanya mempunyai kekuatan seramai 1,900 orang sahaja pegawai beruniform di seluruh negara yang perlu melaksanakan bukan sahaja tugas-tugas berkaitan operasi tetapi juga melibatkan pencegahan dan pendidikan.
Selebihnya seramai 1,000 orang merupakan kakitangan sokongan dalam kalangan orang awam.
Bilangan atau kekuatan pegawai SPRM adalah kekuatan yang sama pada tahun-tahun sebelum ini dan tiada penambahan. Jadi kekuatan sumber manusia inilah yang digerakkan untuk melaksanakan sebegitu banyak operasi dan tindakan sepanjang tahun ini.
Dengan bilangan yang begitu kecil ini saya tanpa ragu-ragu dan amat yakin bahawa rakan-rakan saya di SPRM akan tetap terus bertungkus lumus bekerja keras serta mampu bertahan melaksanakan segala tugasan yang dibebankan kepada mereka.
Oleh itu saya ingin menyatakan penghargaan dan hormat saya yang tidak terhingga kepada rakan-rakan di SPRM yang tidak pernah merasa lemah, bersungut dan menolak sebarang tugasan yang diberikan kepada mereka.
Rasa tanggungjawab mereka untuk membersihkan negara daripada gejala rasuah dan salah guna kuasa serta semangat juang mereka berada pada tahap yang cukup tinggi dan membanggakan.
Inilah etika kerja luar biasa yang ada pada seluruh warga SPRM. Jika tidak ada sesiapa yang memuji insan-insan di SPRM ini maka biarlah saya seorang sahaja yang akan terus menerus berdiri memberikan pujian dan penghormatan kepada keseluruhan warga SPRM.
Saya amat berbangga menjadi teraju utama kepada kelompok manusia yang cukup istimewa di SPRM ini.
Apa komen Datuk terhadap tuduhan serta kritikan yang dibuat terhadap SPRM akhir-akhir ini bahawa SPRM mengambil tindakan yang bersifat serangan politik, khususnya melibatkan tindakan di Pulau Pinang dan Selangor?
DZULKIFLI: Saya ingin mengingatkan golongan yang begitu lancang dan pantas mengkritik serta membuat pertuduhan sebegini kepada SPRM agar lebih berhati-hati dalam berkata-kata.
Jangan melampaui batas dengan sesuka hati membuat kenyataan kosong yang tidak mempunyai sebarang asas. Kami di SPRM bertugas semata-mata untuk rakyat dan demi rakyat.
Ini sangat istimewa kerana setiap tindakan kami di SPRM tidak akan dikaburi sama sekali dengan sebarang perkiraan atau agenda politik sekiranya dibandingkan dengan suara-suara terpencil ini.
Pegawai-pegawai SPRM pada setiap masa bertindak tanpa gentar berdasarkan ruang lingkup undang-undang dan bertugas tanpa sebarang agenda peribadi mahu pun agenda politik.
Pegawai-pegawai SPRM melaksanakan tugas semata-mata kerana cintakan negara ini dan mahukan negara ini bersih dan bebas daripada rasuah serta perasuah yang menjadi pengkhianat kepada rakyat, agama dan bangsa.
Satu-satunya agenda kami di SPRM ini adalah untuk mewujudkan negara Malaysia yang lebih maju dan membangun di mana rakyatnya menikmati sepenuhnya kemudahan dan kemakmuran negara tanpa dicemari dan diganggu gugat oleh sebarang anasir jenayah rasuah dan salah guna kuasa, itu satu-satunya matlamat utama kami.
Isu rasuah bukanlah isu yang harus dipolitikkan. Isu rasuah isu penting yang berkait rapat dengan nasib dan masa hadapan tanah air kita.
Setelah lebih setahun menjadi Ketua Pesuruhjaya SPRM apakah harapan Datuk terhadap rakyat Malaysia secara keseluruhannya?
DZULKIFLI: Rakyat dan SPRM seharusnya berpisah tiada. Rakyat dan SPRM harus menjadi satu. Rakyat perlu menyokong dan mendukung perjuangan SPRM kerana SPRM akan menjadi agensi yang akan mengambil tindakan terhadap suara terpencil rakyat yang mahukan hak dan kepentingan mereka dilindungi dan dipelihara.
Adalah sesuatu yang amat mustahil bagi SPRM untuk menangani dan memerangi isu rasuah dan salah guna kuasa secara sendirian tanpa wujudnya sokongan dan dokongan daripada rakyat di segenap lapisan.
Saya amat yakin bahawa kehadiran kami di sisi masyarakat harus disenangi dan harus diterima sebagai sebahagian daripada ahli keluarga kepada masyarakat secara keseluruhannya.
Di bawah kepemimpinan saya, SPRM akan berfungsi dan berperanan sebagai agensi pencegahan rasuah dan agensi penguat kuasa undang-undang yang lebih proaktif dan lebih berperanan menjadi mata dan telinga rakyat.
SPRM adalah agensi rakyat, apparatus rakyat dan machinery rakyat yang akan menjaga dan melindungi kepentingan dan hak-hak rakyat.
Saya hanya berdoa dan berharap agar rakyat Malaysia secara keseluruhannya akan terus kekal yakin dan memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi kepada SPRM.
http://www.utusan.com.my/hiburan/rancangan-tv/jangan-melampaui-batas-1.519423#ixzz4r1eeCTHB
Comments
Post a Comment