Skip to main content

Jangan ganggu SPRM!

APA sebenarnya yang mereka mahu? Itulah persoalan yang bermain di fikiran penulis apabila ‘serangan demi serangan’ dilancarkan ke atas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak kebelakangan ini.
Kalau kita masih ingat sebaik sahaja mengambil alih jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM pada Ogos tahun lalu, Datuk Dzulkifli Ahmad menggerakkan pelbagai operasi bagi membanteras gejala rasuah dan salah guna kuasa.
Majoriti rakyat memberi sokongan apabila SPRM melakukan serbuan, penahanan dan pendakwaan ke atas penjawat-penjawat awam yang melakukan jenayah tersebut. Kita juga tidak mendengar apa-apa kritikan atau kecaman ketika agensi itu menahan seorang exco kerajaan negeri Johor. Namun sejak kebelakangan ini, kecaman mula dilemparkan kepada SPRM apabila ada ahli politik yang ditahan. Walaupun tindakan dilakukan tanpa memilih bulu atau parti mana diwakili oleh individu tersebut, namun SPRM terus menjadi sasaran serangan.
Apabila menahan pemimpin pembangkang, SPRM dituduh bermotifkan politik, apabila menahan pemimpin kerajaan dikatakan pula ‘itu bukan jerung’, tidak cukup dengan itu di­timbulkan juga soal kenapa orang itu digari, kenapa orang ini tidak gari dan mempersoalkan wajar atau tidak pemakaian baju lokap terhadap suspek.
Sebenarnya, apa yang mereka mahukan? Sebelum ini bila Dzulkifli berkata, tunggu masa sesuai untuk menahan ahli politik, mereka tuduh SPRM tiada keberanian, tetapi bila ada pemimpin politik ditahan, mereka cakap pula semua itu bermotifkan politik dan hanya satu sandiwara.
Persoalannya, adakah ahli-ahli politik ini ‘kebal’ atau kelompok yang tidak boleh disentuh walaupun tindakan SPRM berdasarkan fakta dan bukti? Kenapakah tidak mem­biarkan sahaja SPRM menjalankan tugasnya? Kalau benar semua ahli politik benci rasuah dan salah guna kuasa serta ada dalam kalangan mereka sering menggambarkan merekalah paling bersih di muka bumi Allah ini, kenapakah mahu mengganggu tindakan SPRM?
Yang ditahan bukannya terus dihantar ke penjara sebaliknya mereka di­soal siasat dan jika cukup bukti akan didakwa dan di mahkamah mereka berpeluang membela diri dengan barisan peguam yang hebat-hebat belaka. Oleh itu, kenapakah mahu bising, mempersoalkan tindakan SPRM? Kenapakah mahu memberi tekanan kepada agensi itu seolah-olah apa yang sedang dilakukan oleh SPRM tidak betul?
Oleh itu, kepada semua ahli politik tidak kira siapa pun mereka, hormatilah tugas SPRM. Agensi tersebut menjalankan tugas dengan profesional demi melaksanakan amanah rakyat bagi memerangi rasuah dan salah guna kuasa habis-habisan.
Janganlah bersikap hipokrit bercakap berdegar-degar di depan rakyat kononnya mahu memerangi rasuah dan mempolitikkan statistik rasuah bagi mencari keuntungan politik, tetapi apabila SPRM bertindak terlompat-lompat pula macam kera kena belacan!
SPRM menjalankan tugasnya secara profesional dan berhemah. Semua tindakan dilakukan berdasarkan peruntukan undang-undang dan sama sekali tiada kaitan dengan politik. Oleh itu, jangan cuba mengajak apatah lagi mengheret agensi itu untuk ‘bergelut’ dalam gelanggang politik.
Apa pun kepada SPRM teruskanlah perjuangan membanteras rasuah dan salah guna kuasa. Biarlah ahli-ahli politik dengan sandiwara mereka. Serahkan sahaja kepada rakyat menilai mereka khususnya yang semakin ramai mahu men­jadi ‘badut politik’ dan ‘ayam jantan yang berkokok kuat tetapi ekor bergelumang najis’!
Berpeganglah kepada apa yang diucapkan oleh Dzulkifli dalam sajaknya bertajuk ‘Demi Allah Akan Ku Jaga Maruah ini’ antara lain beliau menukilkan;

Mataku tak mampu kau butakan.
Telingaku tak boleh kau tulikan
Tanganku sukar untuk kau kunci ke belakang
Lidahku tak mampu kau diamkan
Kerana aku ada Allah yang teratas dari teratas
Berkuasa dari yang berkuasa.


http://www.utusan.com.my/rencana/utama/jangan-ganggu-sprm-1.519073#ixzz4r1eNPAiT

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip