Skandal RM16 juta

SHAH ALAM 22 Ogos - Bangkai gajah tidak selamanya dapat ditutup de­ngan nyiru dan itulah yang terjadi kepada pentadbiran kerajaan PKR Selangor yang selama ini berlagak bersih, apabila skandal membabitkan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) dengan syarikat Jana Niaga Sdn. Bhd. (JNSB) dan Universiti Selangor (Unisel) membawa kepada serbuan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Skandal campur tangan MBI yang mana Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali adalah Pengerusinya, dalam penyelesai­an pertikaian kontrak di antara JNSB dan Unisel melibatkan kos RM16 juta dipercayai dilakukan secara salah guna kuasa dan atas alasan itu, SPRM dari Ibu Pejabat Putrajaya melakukan lima serbuan ke atas ketiga-tiga entiti terbabit.

Tindakan serbuan itu dilakukan selepas SPRM mengesan MBI telah diminta membuat pembayaran kepada JNSB melalui dua transaksi iaitu sebanyak RM10 juta pada 2015 dan RM6 juta pada 2016, sedangkan syarikat terbabit yang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan kediaman pelajar di kampus induk Unisel di Bestari Jaya telahpun ditamatkan kontrak oleh universiti berkenaan.

Serbuan pertama dilakukan ke atas kampus Unisel di Seksyen 7 di sini, pada pukul 10 pagi oleh enam pegawai SPRM yang menaiki dua buah kenderaan termasuk kenderaan pelbagai guna (MPV) dan mereka hanya meninggalkan kam­pus terbabit kira-kira pukul 4 petang, dengan membawa bersama empat kotak berisi pelbagai dokumen berkaitan kes berkenaan.

Pegawai SPRM turut mengambil keterangan Presiden dan Naib Canselor Unisel, Prof. Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman selama kira-kira dua jam 30 minit sebelum memasuki Pejabat Bendahari universiti itu.

Serbuan kedua pula dilakukan oleh empat pegawai SPRM ke atas pejabat JNSB di Desa Pandan, Kuala Lumpur kira-kira pukul 10.30 pagi dan hanya meninggalkan pejabat terbabit pada pukul 4.30 petang bersama dua kotak yang mengandungi dokumen berkaitan bertarikh sejak 2011 lagi.

Selepas itu, serbuan diteruskan pula oleh lima pegawai SPRM ke atas pejabat MBI di tingkat 14, Bangunan Darul Ehsan di sini, kira-kira pukul 10.45 pagi dan meninggalkan pejabat terbabit pada pukul 5.50 petang bersama sekotak dokumen.

Seterusnya, empat pegawai SPRM melakukan serbuan di kampus induk Unisel, Bestari Jaya, Kuala Selangor, yang terdapat sebuah lagi pejabat JNSB, bermula pukul 11.10 pagi dan siasatan berakhir kira-kira lima jam sete­ngah kemudian.

Dalam serbuan itu, pegawai SPRM turut membawa keluar tiga kotak berisi dokumen.

Dalam pada itu, Pe­ngarah Jabatan Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd. Ghani dalam kenyataan di sini hari ini berkata, pihaknya telah merampas sejumlah dokumen dari semua lima lokasi serbuan dan akan menga­nalisis setiap dokumen bagi membantu siasatan sebelum tindakan susulan dibuat.

“Siasatan SPRM menjurus kepada punca pembayaran oleh MBI tersebut, sedangkan JNSB telah gagal melaksanakan kontrak yang diberikan mengikut kontrak perjanjian pelaksanaan kerja-kerja di Unisel pada sekitar tahun 2012.

“(Tetapi) siasatan masih di pe­ringkat awal dan kita akan me­ngumpul bukti-bukti dan maklumat yang kukuh sebelum tindakan lanjut diambil,” jelasnya.

Skandal MBI, JNSB dan Unisel mula terbongkar setelah pendedahan mengenai kaedah penyelesaian kontrak terbabit dibuat Selangor-Leaks, sebelum beberapa pihak termasuk Pemuda UMNO Bahagian Kelana Jaya tampil membuat laporan kepada SPRM Selangor pada 8 Ogos lalu kerana merasakan terlalu banyak unsur meragukan di sebalik isu tersebut.


http://www.utusan.com.my/berita/nasional/skandal-rm16-juta-1.518065#ixzz4qX1oigQT 

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip