'SPRM masuk sebab stok bauksit tak pernah habis'

KUALA LUMPUR: Pengeluaran stok bauksit yang tiada penghujung menjadi punca Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan sehingga menahan 10 individu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad, berkata tempoh moratorium yang bermula Januari tahun lalu sepatutnya membawa kepada pengakhiran pengeluaran stok mineral terbabit.

Bagaimanapun, katanya, SPRM mengambil tindakan untuk menjalankan siasatan selepas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar mendedahkan wujud penyelewengan dan salah guna kuasa dalam aktiviti pengeluaran mineral terbabit.

"Memang ada moratorium tetapi tempoh itu diberikan untuk menghabiskan stok.

"Bagaimanapun, perkara sebaliknya berlaku apabila pengeluaran bauksit semakin bertambah dan berlonggok di pusat pengumpulan.

"Pelaksanaan moratorium sampai bila-bila pun tidak berguna jika pengeluaran stok bauksit tiada penghujung.

"Oleh itu, berdasarkan maklumat daripada NGO terbabit, kita mengambil tindakan dan menahan individu berkaitan dalam isu bauksit," katanya ketika hadir sebagai panel Forum Bicara BH di Balai Berita di sini, hari ini.

Sebelum ini, SPRM menahan 10 kakitangan kerajaan termasuk seorang pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) kerana disyaki bersekongkol dalam kegiatan perlombongan bauksit secara haram di Kuantan, Pahang.

Turut ditahan, sembilan kakitangan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang. Semua mereka ditahan dalam beberapa operasi sejak tengah malam kelmarin.

Pada sidang media selepas itu, Dzulkifli berkata, pihaknya akan mengambil keterangan beberapa saksi berhubung siasatan pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC) di Kuching, Sarawak pada 2014.

"Kes ini pernah ditutup pada tahun 2014 kerana kekurangan bukti, bagaimanapun berdasarkan perkembangan terkini dan maklumat yang kita terima, kes ini disiasat semula.

"Terbaru, beberapa individu penting akan dipanggil untuk diambil keterangan dalam tempoh terdekat," katanya.

Dzulkifli menjelaskan, pihaknya menumpukan usaha membendung rasuah dalam kalangan agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kerana mempunyai kepentingan kepada rakyat.

Katanya, lima agensi yang ketika ini berada dalam 'radar' SPRM adalah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA), Tabung Haji (TH) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).


INFO

Moratorium perlombongan bauksit

  • Dilaksanakan mulai 15 Januari tahun lalu selama tiga bulan, manakala pengeluaran permit eksport (AP) untuknya dibekukan.
  • Moratorium sudah dilanjutkan tujuh kali sejak itu.
  • Kali pertama 15 Januari-14 April 2016; kedua, 15 April-14 Julai; ketiga, 15 Julai-14 September; keempat, 15 September-31 Disember; kelima, 1 Januari-31 Mac 2017; keenam 1 April-31 Jun; ketujuh 1 Julai- 31 Disember 2017.
  • Moratorium atau penggantungan sementara secara persetujuan bersama bagi membolehkan pelan tindakan penyelesaian pencemaran dapat dilaksanakan.
  • Sepanjang moratorium, semua stok simpanan bauksit di Pelabuhan Kuantan perlu dieksport dan membersihkan pencemaran akibat lambakan stok mineral itu.

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip