Bauksit: SPRM tahan 10 individu

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 10 individu termasuk seorang pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) selepas disyaki menerima rasuah bagi melindungi kegiatan perlombongan bauksit secara haram di sekitar Pahang.

Pegawai kanan kastam berusia 56 tahun yang ditahan itu berpangkat Penolong Pengarah JKDM negeri manakala sembilan lagi merupakan kakitangan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang.

Kesemua kakitangan PTG yang berusia antara 29 hingga 59 tahun itu terdiri daripada tiga penolong pegawai tanah, empat pembantu awam dan dua pemandu jabatan tersebut.

Menurut sumber, pegawai kastam tersebut ditahan kira-kira pukul 12.15 tengah malam manakala sembilan kakitangan PTG ditahan pada pukul 3.30 petang ini.

“Kesemua mereka ditahan di pejabat SPRM negeri di Kuantan selepas hadir untuk memberi ke­terangan.

“Pihak SPRM telah mendapat perintah reman selama tujuh hari terhadap pegawai kastam terbabit dari Mahkamah Majistret Kuantan pagi ini manakala sembilan yang lain akan direman esok,” katanya di sini.

Dalam pada itu, tambah sumber, beberapa dokumen berkaitan turut dirampas dari pejabat PTG Pahang, JKDM serta Pelabuhan Kuantan.

Jelas sumber, pihak SPRM turut menyita sebanyak 18 buah lori yang sedang mengangkut bauksit dari lombong-lombong haram­ di sekitar Bukit Goh dan Bukit Sagu tengah malam semalam.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahya ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, pihaknya telah memantau kegiatan tersebut sejak beberapa bulan yang lalu.

“Selepas mengumpul maklumat hasil risikan pegawai, kami telah melancarkan operasi sejak malam semalam,” ujarnya.


http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/bauksit-sprm-tahan-10-individu-1.510531#ixzz4oeJ3i8ej 

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip