'Kes 1MDB terlalu kompleks'
SELEPAS setengah abad, esok Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyambut ulang tahun penubuhannya ke-51. Sepanjang tempoh itu, pelbagai onak dan duri sudah ditempuhi bagi memastikan Malaysia ditadbir urus dengan telus. Sempena ulang tahun berkenaan, wartawan AMIR ABD HAMID menerusi Kafe Ahad minggu ini menemu bual Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil yang menyentuh pelbagai isu yang sedang hangat diperkatakan masyarakat seperti skandal aliran dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta kewajipan perisytiharan harta oleh anggota pentadbiran kerajaan.
Apakah ada pembaharuan dalam misi, visi serta hala tuju Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang diberikan tanggungjawab untuk memastikan Malaysia ditadbir urus dengan telus?
Kita nak menyambut ulang tahun penubuhan ke-51 pada Isnin ini (esok). Visi dan misi kita tidak berubah yang sedia ada terutamanya adalah untuk membanteras segala bentuk jenayah rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan. Cuma dari segi fokus kita sentiasa berubah bergantung kepada keadaan semasa.
Apa kekangan terbesar dihadapi SPRM?
Sebenarnya sebagaimana saya nyatakan, kekangan utama adalah dari segi keanggotaan, kewangan dan juga sikit disumbangkan sikap masyarakat.
Sikap masyarakat yang saya maksudkan antara lainnya kadang-kadang menjadikan SPRM sebagai musuh padahal sepatutnya perasuah menjadi musuh.
Apapun kalau kita tengok di bawah pentadbiran kerajaan yang baru ini, memang ada inisiatif yang telah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan termasuk mewajibkan semua anggota pentadbiran termasuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri serta Ahli Parlimen kerajaan untuk mengisytiharkan harta kepada Perdana Menteri berserta satu salinan diberikan kepada SPRM.
Sebelum ini tidak berlaku sebegitu. Kita akan dapat akses kepada semua pemilikan harta oleh anggota pentadbiran dan juga Ahli Parlimen kerajaan. Mulai 15 Oktober ini pun kita akan siarkan perisytiharan harta itu dalam portal SPRM yang mana masyarakat boleh akses. Ada nampak ketelusan. Tetapi baru lima orang saja yang isytihar. Selain daripada itu, kalau kita tengok ada pembaharuan dilakukan kerajaan termasuk penubuhan Pusat Governance Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GICC) dan penubuhan Jawatankuasa Khas Kabinet Anti Rasuah untuk meningkatkan integriti dan tadbir urus negara.
Pada prinsipnya, kerajaan juga bersetuju untuk memperkasakan Akta SPRM yang sedia ada dan menjadikan salah laku penjawat awam yang kita lihat kes audit tak dapat selesai. Sekarang ini apabila ada peruntukan baru adalah menjadi satu kesalahan sekiranya berlakunya ketirisan atau pun pembaziran oleh sebab kecuaian adalah satu kesalahan di bawah pindaan yang akan dibuat dalam masa terdekat. Itu antara lain yang sedang dan akan dilakukan oleh kerajaan.
Apa jaminan pemberi maklumat berkenaan pelakuan rasuah atau salah guna kuasa?
Soalan ini khususnya membabitkan VIP/VVIP atau diistilahkan sebagai jerung atau paus. Kemungkinan membabitkan juga pucuk pimpinan negara.
Sebenarnya kita kena kategorikan pemberi maklumat ini. Ada dua kategori. Sekiranya individu yang hadir sendiri ke SPRM, sama ada dia memberi maklumat atau dia membuat laporan.
Kalau dia memberi maklumat, memang dia boleh dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat.
Tetapi sekiranya dia datang sebagai pengadu, katalah dalam kes itu ada pembabitan dia sendiri, contohnya dia memberi duit rasuah atau sogokan kepada mana-mana penjawat awam disebabkan nak dapatkan projek atau nak dapatkan projek itu penjawat awam berkenaan meminta sogokan kepadanya.
Dalam kes ini pengadu mesti datang untuk membuat laporan. Bukan memberi maklumat.
Jika dia datang untuk membuat laporan, jadi dia adalah sebagai pengadu dan apabila kes sehingga ke mahkamah dia boleh kita lindungi di bawah Akta Perlindungan Saksi. Itu bezanya antara seseorang pengadu dan pemberi maklumat. Sekiranya pemberi maklumat kita akan lindungi identitinya.
Ada budaya ‘tangan ghaib’ dikatakan mengganggu siasatan. Boleh Datuk jelaskan?
Masalah kita ialah menghadapi persepsi masyarakat terhadap tindakan SPRM. Sebenarnya dari segi tindakan, kita tidak diarahkan oleh mana-mana pihak. Itu saya boleh jamin.
Kita menjalankan siasatan bukan disebabkan oleh arahan sama ada kerajaan dahulu atau kerajaan sekarang.
Tidak sesekali mana-mana pihak mengarahkan kita untuk membuka atau menutup siasatan. Dari segi siasatan, kita bebas untuk menyiasat sesiapa.
Jadi tak adalah isu ‘tangan-tangan ghaib’ mencampuri urusan siasatan kita. Malah, fungsi kita atau aktiviti yang kita laksanakan untuk operasi, kita tidak perlu laporkan kepada badan eksekutif atau hingga ke peringkat Perdana Menteri. Malah, Perdana Menteri tidak pernah memberi arahan kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk melaksanakan apa-apa siasatan.
Melihatkan situasi semasa, adakah akan ada lagi pembongkaran membabitkan kes berprofil tinggi?
Kita lihat dari segi kes berprofil tinggi atau ikan jerung yang masyarakat takrifkan, itu sebenarnya masyarakat yang mentakrifkan. Bagi kita, apa saja laporan atau maklumat yang kita terima berhubung dengan rasuah tak kira apa kedudukan orang itu, kita akan siasat.
Apa perbezaan bekerja dalam pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)?
Jika ditanya saya secara peribadi, tidak nampak apa pun perbezaan. Sebab kita tetap melaksanakan fungsi sebagaimana tertakluk akta. Kita masih melaksanakan tugas operasi, penguatkuasaan, pencegahan dan pendidikan rasuah seperti biasa. Tidak pula, katalah dulu kita tak siasat sekarang baru kita siasat atau dulu kita siasat sekarang kita tutup siasatan...itu tak berlaku. Isunya, apa saja yang kita terima kita akan siasat. Cuma tuduh atau tidak tuduh, kita tiada kuasa itu.
Ada terminologi popular iaitu ‘cash is king’ (wang adalah raja). Adakah ini turut melekat dalam kalangan SPRM apabila diberikan tugas menggalas sesuatu tugasan tertentu? Mungkinkah SPRM sendiri terdedah dengan budaya sogokan ini?
Kalau dari segi kita punya siasatan, tak kiralah apa keadaan pun bagi kita akan kembali kepada asas undang-undang.
Fungsi SPRM, terima maklumat kena jalankan siasatan. Kalau ada yang boleh kita boleh tambah baik dari segi sistem dan prosedur sesuatu jabatan itu, kita akan buat pemeriksaan supaya dapat menutup ruang dan peluang berlakunya rasuah.
Saya tak boleh nafikanlah dalam SPRM sendiri turut terdedah dengan sogokan, rasuah atau suapan sebab apabila kita berhadapan dengan makhluk yang bernama manusia, selagi kita manusia normal jadi kebarangkalian untuk berlakunya (rasuah kepada SPRM), mungkin boleh berlaku. Tetapi apa yang kita buat di peringkat dalaman, kita ada Bahagian Kecemerlangan dan Profesionalisme yang akan melihat sekiranya ada perlanggaran tatakelakuan atau pun perkara salah laku yang dilakukan oleh pegawai SPRM.
Sikap pilih bulu dalam meneruskan sesuatu kes antara suspek dalam kalangan kerajaan atau pembangkang?
Jika tanya sama ada kita menyiasat itu ikan besar ke atau pun ikan bilis, sebenarnya isunya jika ada laporan kita tak kira sama ada ikan bilis atau ikan jerung, kita pasti akan siasatlah. Sebab yang pentingnya kita sebagai agensi penguat kuasa yang menangani isu rasuah, kita akan melaksanakan tugas sebagaimana yang dikehendaki oleh akta.
Kita tidak memilih bulu dan kita tidak kira apa fahaman politik.
Betulkah di SPRM banyak fail sudah lengkap namun hanya menunggu ‘wahyu’ atau ‘lampu hijau’ untuk teruskan?
Tak ada isu tunggu. Selain SOP SPRM, apabila kita terima apa saja maklumat atau laporan maka kita akan membuat proses siasatan. Sudah lengkap siasatan, kita akan hantar kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara dan pihak mereka akan meneliti kertas siasatan yang kita hantar tadi. Mungkin perlu Jabatan Peguam Negara melihat pula pelbagai sudut yang akan mengambil sedikit masa.
Contohnya kes 1MDB, masyarakat bertanya kepada sampai sekarang tak dakwa sesiapa lagi? Kes 1MDB terlalu kompleks membabitkan beberapa negara. Jadi apabila melibatkan negara luar, proses nak mengambil keterangan tak sebagaimana kes yang khusus dalam negara.
Sama juga dengan kes 1MDB, ada beberapa perkara perlukan dapat kerjasama daripada negara berkaitan contohnya keterangan yang perlu dapatkan di Switzerland, Singapura, beberapa negara timur tengah, China dan Amerika Syarikat.
Tetapi saya boleh cakap, Insya-Allah kita tengok dengan trend yang ada, kerjasama yang kita peroleh daripada negara berkaitan itu, kita yakin boleh selesaikan (siasatan 1MDB) paling tidak pun sebelum hujung tahun ini. Ada juga kes ini melibatkan siasatan polis selain SPRM. Tumpuan kita adalah kepada kes RM2.6 bilion dan juga kes SRC International Sdn Bhd yang sudah didakwa. Bagi kes 1MDB, sebahagiannya dilaksanakan oleh polis.
https://www.hmetro.com.my/utama/2018/09/381762/kes-1mdb-terlalu-kompleks-metrotv
Comments
Post a Comment